NUNUKAN, Kalimantan Utara – Sebuah perigi milik penduduk Kampung Liang Bunyu, Sebatik di wilayah Nunukan, Kalimantan Utara terpaksa ditutup sementara kerana mengeluarkan gas metana yang membahayakan penduduk.
Ketua bahagian minyak dan agensi cari gali gas dan tenaga wilayah Nunukan, Elirat berkata, tindakan itu bagi memastikan tidak berlaku sebarang kebakaran akibat gas yang dikeluarkan.
“Kami telah menutup sementara perigi berkenaan menggunakan lumpur bagi menjaga keselamatan penduduk kerana gas metana merupakan gas beracun,” katanya.
Menurut Elirat, kejadian gas keluar dari dalam perigi milik Bunna, bukan perkara baharu kerana terdapat empat perigi milik penduduk lain di wilayah Nunukan mengalami kejadian yang sama.
Malah terdapat beberapa perigi menyemburkan gas metana yang lebih kuat. Beberapa pihak kini mendapat kebenaran untuk mengendalikan pengeluaran gas metana di wilayah berkenaan.
Katanya, gas yang keluar dari perigi milik penduduk di situ merupakan gas jenis biometana dengan tekanan rendah.
Terdapat penduduk menggunakan gas itu untuk memasak seperti dilakukan oleh penduduk Kampung Liang Bunyu.
Namun, disebabkan bimbang keselamatan masing-masing, kebanyakan penduduk memilih untuk menutup perigi mereka.
Elirat berkata, kejadian itu tidak akan menyebabkan berlaku banjir lumpur panas seperti di Porong, Sidoarjo di Jawa Timur pada Mei 2006.
“Gas yang keluar di kampung ini berbeza kerana ia masih berada di lapisan atas,” katanya.
Menurutnya, wilayah Nunukan mempunyai potensi sebagai pengeluar gas, namun belum ada kajian dibuat oleh pihak syarikat Star Energy, walaupun kajian awal telah dilakukan di Kampung Semangkadu di wilayah itu. – KOMPAS.COM
– See more at: http://ift.tt/1Wrf34R