Saturday, May 28, 2016

Ibu harap anak jadi tahfiz tapi dicabul pula ustaz pondok

Foto hiasan

GOMBAK, 27 Mei — Seorang ibu di sini kesal selepas hasrat anaknya untuk menjadi seorang hafiz tidak kesampaian, malah dicabul ustaz sebuah sekolah pondok di Rantau Panjang, Kelantan.

Wanita itu, dikenali sebagai Hafiza, mendakwa selain tidak mengetahui hasil siasatan polis, sekolah anaknya juga meminta aduan berhubung isu berkenaan ditarik balik.

“Sehingga kini lelaki itu tidak dikenakan sebarang tindakan oleh pihak pengurusan sekolah terbabit,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.

“Malah kami juga tidak tahu setakat mana siasatan polis. Saya amat berharap tindakan serius diambil berikutan bimbang pelajar lain turut menjadi mangsa.”

Hafiza, 39, berkata anaknya Alif, 15, kini masih trauma dengan tindakan ustaz berusia sekitar 40-an itu yang mempunyai orientasi seks terhadap lelaki.

Anak keduanya itu melalui detik-detik hitam tersebut selepas dimasukkan ke sekolah berkenaan awal tahun ini, dakwanya lagi.

“Saya hantar anak ke sekolah pondok supaya belajar agama dan menjadi hafiz al-Quran. Malangnya dia diganggu lelaki bernafsu songsang.

“Saya terkejut apabila anak saya itu tiba-tiba melarikan diri dengan menaiki bas dari Kota Baru ke Gombak.

“Alif memberitahu kerap diganggu dan dicabul seorang tenaga pengajar menyebabkan dia mengajak abangnya melarikan diri pulang ke rumah,” katanya, merujuk seorang lagi anaknya Arif, 16, yang awal setahun ke sekolah tersebut.

Hafiza juga berkata pihak sekolah meminta laporan polis yang dibuat di balai Selayang di sini ditarik balik kerana tidak mempercayai dakwaan Alif.

Katanya, selain bimbang nama baik sekolah akan terjejas, pihak pentadbiran mendakwa ustaz berkenaan sudah lama mengajar di sekolah itu.

– See more at: http://ift.tt/1TLpuN3