KUALA LUMPUR – Alam Flora Sdn Bhd mencatatkan peningkatan kutipan sisa pepejal melebihi 600 metrik tan pada hari ke-15 Ramadan tahun ini berbanding tahun lepas.
Jumlah tersebut merangkumi kutipan di keseluruhan kawasan di ketiga-tiga negeri di bawah perkhidmatan Alam Flora iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Pahang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zain Hassan, makanan yang tidak dihabiskan atau tidak terjual di bazar Ramadan antara penyumbang utama kepada peningkatan kutipan sisa, selain bahan pembungkusan seperti plastik dan polistirena.
Jelas beliau, pembaziran makanan pada bulan Ramadan dapat dilihat menerusi lebih 3,000 metrik tan sampah yang dibawa ke tapak pelupusan sampah sehari, berbanding jumlah kutipan purata sebanyak 2,500 metrik tan sampah pada hari-hari biasa.
“Daripada peningkatan sebanyak 600 metrik tan ini, lebih 400 metrik tan adalah terhasil daripada pungutan dari Kuala Lumpur yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi manakala selebihnya dari Pahang dan Putrajaya,” katanya.
Menurut Mohd Zain, berdasarkan statistik sebanyak 15,000 metrik tan daripada 33,000 metrik tan yang dikutip sehari dari seluruh negara adalah sampah makanan dan 60 peratus daripadanya boleh dielakkan sekiranya orang ramai tahun cara penyimpanan serta pembelian makanan dengan betul.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya berjimat cermat ketika membeli makanan dan tidak terlalu mengikut nafsu.
“Peniaga juga jangan melakukan pembaziran dengan mendermakan makanan tidak habis dijual kepada rumah-rumah kebajikan atau golongan lebih memerlukan,” ujarnya.
sumber:http://ift.tt/28T01jw