Tuesday, June 21, 2016

Samun ibu dalam pantang

Quote:

Baling: Seorang wanita berusia 20-an yang masih dalam pantang cedera di badan, kaki dan kepala selepas terjatuh ketika keluar dari kereta Proton Wira suaminya yang dicuri seorang lelaki di pekan Kupang, Baling, di sini, petang semalam

Dalam kejadian jam 4.30 petang, kereta terbabit berhenti di kedai runcit sebelum suami mangsa keluar untuk membeli barang dan meninggalkan wanita itu bersama anaknya yang baru berusia 22 hari

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffudin Yusof berkata, suspek kemudian datang dan terus masuk ke dalam kereta serta mengarahkan mangsa dan anaknya keluar dari kenderaan itu

Menurutnya, bagaimanapun ketika keluar mangsa yang memangku anaknya terjatuh dan mengalami kecederaan

“Kejadian itu berlaku terlalu pantas dan suami mangsa tidak sempat berbuat apa-apa apabila keretanya dibawa lari suspek

“Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi tadi

Shariffudin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan

Kejadian itu turut menjadi viral di Facebook selepas dikongsi orang ramai yang bersimpati dan mengutuk tindakan suspek

Malah difahamkan ketika kejadian itu mangsa yang masih dalam pantang baru pulang dari klinik menjalani pemeriksaan