Monday, June 27, 2016

Sangka biawak besar rupanya buaya dalam longkang

MELAKA – Seorang pemotong rumput terkejut apabila haiwan yang disangka biawak besar rupa-rupanya seekor buaya tembaga seberat lebih 70 kilogram yang sesat di dalam sebatang longkang di Jalan Gapam berhampiran pintu gerbang Melaka Perdana, pagi tadi.

Reptilia sepanjang 2.5 meter itu berjaya ditangkap oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kira-kira pada pukul 11.30 pagi.

Menurut Karim Neo Abdullah, 54, dia terserempak dengan sang bedal itu ketika memotong rumput di kawasan tersebut pada pukul 10.30 pagi.

“Saya sangkakan ia seekor biawak besar, namum apabila diperhatikan, ekornya mempunyai duri seperti seekor buaya. Saya kemudian menghubungi talian kecemasan 999 sebelum disambung ke JPAM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPAM negeri, Leftenan Kolonel Effendy Ali berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kira-kira 10.45 pagi.

“Operasi penangkapan mengambil masa kira-kira 30 minit melibatkan seramai tujuh anggota,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambahnya, reptilia itu telah diserah kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri.

Artikel Penuh: http://ift.tt/28Xolkz