KUALA LUMPUR – Polis mengambil berat akan kes senjata api yang makin berleluasa dengan empat kes dilaporkan dalam sebulan di sekitar Lembah Klang.
China Press melaporkan, penyeludupan senjata api semakin terjadi-jadi sehingga ia mudah diperoleh oleh penjenayah melalui pasaran gelap.
Seorang pegawai polis kanan memberitahu akhbar itu, pemilikan senjata api akan mendorong penjenayah menjadi lebih berani sekali gus ‘menggalakkan’ jenayah seperti rompakan, pembunuhan, ugutan dan balas dendam.
Pegawai polis itu bagaimanapun memberitahu bahawa kebanyakan penjenayah yang menggunakan senjata api bukan penembak profesional hingga asyik tersasar ketika menembak.
“Mereka tidak pernah menerima latihan menembak dan keadaan ini jelas kelihatan dalam beberapa kes yang berlaku kebelakangan ini.
“Walaupun sebanyak 10 das tembakan dilepaskan, tetapi ia tetap gagal membunuh mangsa yang disasarkan mereka,” katanya.
Menurutnya, anggota kongsi gelap kebelakangan ini juga gemar berlagak menggunakan senjata api yang dimiliki mereka.
“Dalam satu kes di Klang, Selangor baru-baru ini, seorang lelaki India mencederakan lelaki Cina yang sedang minum alkohol selepas mangsa menggunakan perkataan Kelingkia yang bersifat menghina,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd. Rahim Jaffar berkata, kebanyakan kes serangan senjata api yang berlaku adalah membabitkan balas dendam.
Katanya, orang ramai tidak perlu terlalu bimbang dengan laporan kes-kes tembakan yang disebarkan melalui pelbagai saluran.
“Jangan sampai berasa bimbang setiap kali terdengar ada kes menembak berlaku.
“Ia tidak semestinya melibatkan penjenayah yang menembak, tetapi terdapat juga polis yang menembak penjenayah,” katanya.
|
Laporan Metro 17 Jun lepas, Suspek mengeluarkan pistol dan melepaskan lebih tiga das tembakan ke arah suspek dari jarak dekat, namun hanya satu tembakan mengena, itu pun di bahagian bahu kiri mangsa. Mangsa terselamat. http://www.youtube.com/watch?v=x4a3jMafmYk |