SEPANG 10 Julai – Ribuan pengguna jalan raya terperangkap di Plaza Tol Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang ketika ini akibat daripada masalah teknikal di kedua-dua arah plaza tol berkenaan sejak pukul 10 malam tadi.
Ramai pengguna memuat naik ke laman sosial Facebook yang memaklumkan perkara itu dengan beberapa gambar menunjukkan kesesakan lalu lintas yang teruk.
Ada pengguna menyatakan daripada sembilan lorong yang ada, hanya satu lorong yang berfungsi dan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Kebanyakan pengguna yang menggunakan jalan ini menuju ke KLIA dan klia2 mengejar penerbangan masing-masing.
Lebih memburukkan keadaan, ramai yang kembali ke ibu kota selepas bercuti hari raya Aidilfitri baru-baru ini.
Mereka yang menuju ke KLIA dan klia2 diharap mengambil jalan lain untuk mengelakkan kesesakan teruk yang berlaku di Plaza Tol KLIA. – UTUSAN ONLINE
**Maklumat lanjut menyusul