KUALA LUMPUR – Kes tembak dan serangan kumpulan militan IS yang berlaku ternyata mengejutkan tauke-tauke besar bergelar Tan Sri dan Datuk Seri apabila mereka berebut-rebut menggaji pengawal keselamatan peribadi khususnya yang bersenjata.
Sinchew Daily melaporkan seorang tauke yang namanya tidak disiarkan menggaji lapan orang pengawal keselamatan peribadi untuk menjaga keselamatan diri dan ahli keluarga.
Daripada lapan orang itu, lima orang adalah dibekalkan dengan senjata api.
Seramai dua orang diberi tugas khusus melindungi tauke besar tersebut manakala baki enam orang bertanggungjawab menjaga keselamatan ahli keluarganya.
“Saya mula melihat keperluan ini sejak dua tahun lalu dan meminta syarikat kawalan keselamatan menyediakan pengawal keselamatan peribadi yang terlatih dan mampu menggunakan senjata api.
“Sebaik-baiknya seorang bekas tentera,” kata tauke itu.
Menurutnya, pengawal keselamatan peribadi dibayar gaji antara RM8,000 hingga RM9,000 sebulan dan kos tersebut mencecah RM10,000 hingga RM12,000 jika ditambahkan dengan bayaran kerja lebih masa (OT).
Seorang lagi tauke bergelar Tan Sri pula mengakui membawa pistol sendiri selain dilindungi seorang pengawal keselamatan peribadi yang turut bersenjata api.
Selain itu, rumahnya turut dijaga oleh dua hingga tiga orang pengawal keselamatan.
Walau bagaimanapun, Tan Sri itu tidak melengkapkan kenderaannya dengan kaca kalis peluru.
Pengarah Urusan Star CMS Security Services Sdn. Bhd., Datuk Tan Joon Kiang berkata, permintaan untuk pengawal keselamatan peribadi yang bersenjata api adalah tinggi sehingga berlaku ‘kekurangan stok’.
Menurutnya, urusan memohon lesen senjata api daripada polis memakan masa yang lama.
|
Cuma RM5,000 upah pembunuh KUALA LUMPUR – Bukannya terlalu mahal, tetapi sekadar RM5,000 untuk menggaji seorang pembunuh upahan. Keadaan itu mungkin menjelaskan tujuh kes menembak yang berlaku di negara ini sejak Jun lalu. Sinchew Daily melaporkan, peningkatan kes tembak bunuh mempunyai kaitan dengan kelemahan kawalan sempadan Malaysia-Thailand yang menyebabkan senjata api mudah diseludup malahan dijual murah. Sebuah pistol Glock boleh dibeli dengan harga tidak melebihi RM2,000 dan peluru dijual dengan RM2 sebutir di pasaran gelap. Untuk mendapatkan pistol itu secara sah pula, pembeli kena menyediakan kira-kira RM5,000. “Senjata api yang diseludup dari selatan Thailand adalah sangat murah, ia boleh diisi dengan 12 hingga 16 peluru dan membunuh dalam satu saat sahaja,” kata sumber dari syarikat kawalan keselamatan. Sumber itu turut memberitahu bahawa pembunuh dari Indonesia, Filipina malahan penagih dadah dapat digaji dengan RM5,000. “Tidak kira berjaya atau tidak, pembunuh upahan perlu dibayar terlebih dahulu. Tembakan itu tidak semestinya berniat membunuh, kadang-kala ia bertujuan memberi amaran,” katanya. |