Jakarta: Menteri Pendayagunaan Aparatu Negara dan Reformasi Birokrasi (PANRB) Yuddy Chrisnandi melarang semua kakitangan kementerian menerima hamper atau apa juga bentuk hadiah daripada mana-mana pihak sempena hari raya ini.
Malah, Yuddy juga meletakkan pelekat di pintu masuk rumahnya bagi memaklumkan mengenai larangan pemberian hamper hari raya.
“Saya mahu membuktikan kesungguhan saya sebagai Menteri Pendayagunaan Aparatu Negara untuk tidak menerima hamper, bungkusan atau bingkisan lebaran,” katanya kepada wartawan.
Pada pelekat itu tertulis: ‘Mohon Maaf Tidak Menerima Hamper/ Bingkisan Lebaran Dalam Bentuk Apapun.’
Menurut Yuddy, tindakan itu diambil bagi mengekang kegiatan rasuah antara kakitangan awam dengan pihak ketiga.
Seorang anggota keselamatan yang ditugaskan di rumah menteri itu berkata, dia diarah tidak menerima apa juga bungkusan.
Menteri itu awal Ramadan lalu mengeluarkan surat yang ditujukan kepada semua anggota Kabinet, panglima tentera, ketua polis, ketua jabatan, gabenor, pegawai daerah dan ketua kampung supaya tidak menerima hamper atau hadiah hari raya.
Asas larangan itu ialah kakitangan awam sudahpun berikrar untuk menjalankan tugas dengan baik tanpa mengharapkan balasan.