Wednesday, October 26, 2016

Akibat kemurungan, lelaki cuba bunuh diri guna tong gas memasak

Tong gas LPG yang dipercayai digunakan mangsa untuk membunuh diri.

PORT DICKSON – Seorang lelaki disyaki cuba membunuh diri dengan membuka penutup tong gas petrolium cecair (LPG) dan mengurung dirinya bersama tong gas itu dalam sebuah bilik di rumahnya di Taman Indah Mas di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Adzli Abu Shah berkata, lelaki berusia 31 tahun yang memiliki beberapa rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah itu melakukan perbuatan berbahaya berkenaan kira-kira pukul 11.50 malam.

“Lelaki itu merupakan seorang penganggur dan dipercayai mengalami kemurungan akibat masalah kewangan.

“Dia bertindak demikian selepas berselisih faham dengan keluarganya di rumah berkenaan.

“Isterinya kemudian menghubungi pihak polis dan bomba bagi mendapatkan bantuan. Bomba dan polis berjaya menyelamatkan lelaki berkenaan dengan membuka pintu itu dan kemudian menghantarnya ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd. Sulong Addin berkata, seramai lapan Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dikejarkan ke rumah itu bagi memberi bantuan sejurus pihaknya menerima maklumat kejadian.

Artikel Penuh: http://ift.tt/2f6UgFC