SINGAPURA: Kanak-kanak berusia dua tahun itu sudahpun menyedut susu Marigold rendah lemak sebelum ibunya ternampak objek asing di dalam kotak susu berkenaan. “Ia kelihatan seperti kulit ikan dengan gumpalan susu pada sebahagian daripada kulit tersebut,” wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Joanne memberitahu.
Objek berkenaan “agak besar”, kira-kira lima sentimeter panjangnya, tambah beliau. Joanne memuat naik gambar-gambar objek asing tersebut ke laman Facebook beliau pada Isnin (24 Okt) dan sejak itu ia sudah dikongsi lebih 100 kali.
Beliau memutuskan untuk membuka kotak minuman tersebut dan menuang baki susu itu ke dalam botol anaknya setelah beliau “terdengar bunyi di dalam kotak tersebut. Saya tidak akan tahu tentang objek tersebut jika anak saya habis minum semua susu daripada kotak itu dengan straw, seperti kebiasaan kebanyakan kanak-kanak lain,” tulis beliau di laman Facebook.
“Kami tidak tahu apakah objek tersebut, tetapi ia pasti bukan sesuatu yang sepatutnya berada di dalam minuman itu. Saya baru sahaja membeli bungkusan enam lagi kotak susu yang akan saya buang.”
Menyusuli insiden itu, Marigold memberi respons kepada catatan Cik Joanne pagi semalam (25 okt). “Kami beri jaminan yang kami akan menyiasat insiden ini,” kata seorang jurucakap, sambil menambah bahawa pihaknya sudah menghubungi suami Cik Joanne.
“Kami sekali lagi beri jaminan bahawa keutamaan kami adalah memastikan mutu produk yang terbaik buat para pelanggan kami,” tulis jurucakap berkenaan.
Cik Joanne berkata Marigold sudahpun meminta supaya beliau menyerahkan objek tersebut dan menawarkan dua pek susu sebagai ganti. “Kami menolak tawaran mereka atas sebab-sebab yang nyata dan kami memilih untuk menyerahkannya kepada pihak berkuasa yang relevan untuk diperiksa,” kata Cik Joanne.
“Kami juga sudah menghubungi Penguasa Makanan Pertanian dan Ternakan (AVA) Singapura yang juga bertanya tentang perkara ini”.
Insiden tersebut berlaku hanya seminggu setelah produk susu Marigold HL ditarik balik di Malaysia menyusuli aduan bahawa susu coklat Marigold Milk adalah lebih pekat daripada biasa. Syarikat itu mendapati mutu susu terjejas disebabkan pencemaran bakteria, namun menekankan bahawa isu itu sudah dihuraikan.
Syarikat induk Malaysia Dairy Industries menyatakan setelah penarikan balik itu produk-produk susu Marigold HL yang dijual di Singapura dihasilkan di kilang tempatan dan selamat untuk diminum.