Wednesday, October 12, 2016

Tuntut bayaran khairat kematian

Rafizah menunjukkan sijil kematian arwah bapanya, Mohamad Ali.

JENGKA – Seorang waris peneroka Felda Jengka 11, di sini, mendakwa terkilan apabila bayaran Skim Bantuan Khairat Kematian Felda berjumlah RM10,000 untuk bapanya yang meninggal dunia pada Ogos lalu belum diterima sehingga kini.

Rafizah Mohamad Ali, 36, berkata, apa yang diketahuinya, waris peneroka akan menerima wang khairat sebanyak RM3,000 pada hari kematian untuk pengurusan jenazah, manakala bakinya dibayar setelah semua dokumen lengkap diserahkan kepada pejabat Felda.

Dakwanya, bagaimanapun, setakat ini wang RM3,000 itu belum diterima termasuk baki RM7,000 yang sepatutnya diperoleh walaupun borang sudah diisi dan dihantar beberapa hari selepas kematian bapanya, Allahyarham Mohamad Ali Abdullah, 65.

“Apabila adik saya pergi ke pejabat untuk mohon penjelasan, wakil mereka tanya mengenai dokumen sedangkan semuanya sudah diserahkan oleh kakak saya sebelum ini.

“Kalau kami lambat atau tak hantar dokumen, itu kami faham, tetapi kami sudah hantar dokumen. Saya tak faham kenapa proses tuntutan ini lewat sehingga Oktober. Saya juga tak faham kenapa emak kami tidak dapat bayaran RM3,000 itu. Kalau dapat boleh bantu urusan pengebumian dan bayar hutang arwah abah,” katanya.

Rafizah berkata, bapanya meninggal dunia pada Jumaat, 26 Ogos lalu dan kakaknya Norasmah, 43, pergi ke pejabat Felda Jengka 11, empat hari kemudian.

“Kakak sediakan semua dokumen dikehendaki dan serahkan ke pejabat. Jadi masalah dokumen rasanya tak timbul.

“Saya menuntut bayaran ini untuk emak kerana wang tersebut setidak-tidaknya dapat bantu keluarga yang dalam kesusahan lebih-lebih lagi setelah berlaku kematian ketua keluarga. Jadi kami minta penjelasan berhubung prosedur sebenar tuntutan skim itu supaya pemohon atau waris faham,” katanya.

Skim Bantuan Khairat Kematian Peneroka berkuat kuasa bermula 1 Januari 2010 sebagai satu aktiviti kebajikan yang disumbangkan oleh Felda kepada peneroka di tanah rancangan.

Tujuan skim itu diwujudkan adalah sebagai bantuan menguruskan jenazah dan mengurangkan bebanan hutang ditanggung waris, yang mana belanja pengurusan jenazah RM3,000 dibayar serta merta oleh Pengurus Rancangan kepada waris.

Manakala permohonan bayaran khairat kematian RM7,000 perlu diuruskan oleh waris dalam tempoh seminggu dari tarikh kematian menggunakan Borang Tuntutan Khairat Kematian Peneroka yang boleh diperoleh di Pejabat Rancangan.

http://ift.tt/2dKYVuB