Thursday, October 27, 2016

UPSR ditukar buat perkembangan murid terjejas

KUALA NERANG – Cadangan menggantikan Ujian Pencapaian‎ Sekolah Rendah (UPSR) kepada pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) antara lainnya bagi memastikan psikomotor dan perkembangan murid tidak terjejas dengan tekanan mendapat keputusan cemerlang peperiksaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketika ini, keputusan peperiksaan dilihat sebagai kayu pengukur kepada pencapaian sesebuah sekolah sehingga menyebabkan murid agak tertekan kerana perlu mengejar jumlah gred ‘A’ yang banyak dalam slip keputusan.

“Dari segi psikomotor dan perkembangan kanak-kanak, dia agak tertekan kerana guru sekolah minta 5A, ibu bapa minta 5A sampai hantar anak tuisyen siang malam…jadi, kita nak ubahkan sikit.

“Zaman ini bukan mahu tengok keputusan peperiksaan tapi pencapaian sebenar pelajar, kalau boleh peperiksaan masih ada tapi ia tidak mewakili semua,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan masjid baru Kariah Pulau Kijang, Kuala Nerang di sini, hari ini.

Antara kaedah yang boleh digunakan adalah penilaian sama rata iaitu 50 peratus peperiksaan dan akademik manakala 50 peratus lagi dinilai melalui displin, kehadiran, kokurikulum dan sukan seseorang murid itu.

Mahdzir berkata, cadangan menggantikan UPSR kepada PBS sudah beberapa kali dibangkitkan namun, ia perlu diperhalusi secara terperinci dan kini berada di peringkat akhir kajian.

Ketika ini, katanya kementerian giat mengumpul pandangan dan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan termasuk guru dan ibu bapa sebelum ia dilaksanakan.

“Apabila sampai masanya kita akan putuskan apakah kaedah PBS yang lebih sesuai untuk pelajar sebab di negara maju, peperiksaan hanya untuk tingkatan tertinggi di sesebuah sekolah,” katanya.

Ditanya mengenai bentuk ujian untuk pelajar memasuki Sekolah Berasarama Penuh sekiranya UPSR dimansuhkan, beliau berkata kementerian akan memikirkan ujian lain berbentuk ‘one-off’ yang sesuai untuk mereka. – Bernama