Keluarga Joudeh diberi amanah untuk menyimpan kunci gereja itu sementara keluarga Nuseibeh pula bertanggungjawab membuka pintu gereja setiap awal pagi dan menguncinya semula pada sebelah petang.
Kunci gereja itu berukuran sekaki panjangnya dan diperbuat daripada besi yang kini berkurun lama usianya.
Dalam satu temu bual dengan CNN awal tahun ini, Adeeb Joudeh kini penjaga kunci gereja itu berkata beliau menganggap tugas yang diwarisi keluarganya itu sebagai perlambangan untuk toleransi agama.
“Bagi saya, Gereja Holy Sepulchre ialah titik kewujudan bersama untuk agama Islam dan Kristian,” katanya.
Rakannya, Wajeeh Nuseibeh turut bercerita mengenai peranan penting 2 keluarga Muslim di Jerusalem itu kepada San Francisco Chronicle pada 2005.
“Sama seperti saudara lain, mereka kadangkala ada masalah,” katanya merujuk kepada mazhab Kristian yang bertelagah.
“Kami bantu mereka menyelesaikan pertikaian. Kami neutral dalam gereja ini. Kami seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Kami bantu mengekalkan keamanan dalam tempat suci ini,” katanya.
Di gereja ini ada sekurang-kurangnya 6 mazhab Kristian iaitu Ortodoks Yunani, Ortodoks Armenia, Katholik, Ortodoks Siria, Ortodoks Koptik Aleksandria-Mesir, dan Ortodoks Ethiopia Tewahedo. Katholik Roma, Yunani, dan Armenia memegang 70% pemilikan gereja itu.
Gereja Holy Sepulchre yang terletak di kota lama Jerusalem dibina pada tahun 326 Masihi menjadi tempat paling suci bagi penganut Kristian, yang menurut kepercayaan mereka menjadi tempat di mana Nabi Isa disalib dan kemudiannya dikebumikan. Sejak abad ke-4, penganut Kristian dari seluruh dunia menziarahi gereja itu.
Pada pertengahan tahun ini, gereja itu menjalani proses pemuliharaan semula selepas perbalahan antara mazhab dan beberapa gereja Kristian yang lain bersetuju untuk mengetepikan perbezaan pandangan masing-masing.
Gereja Ortodoks Yunani, Katolik Roma, dan Gereja Armenia akhirnya bersetuju untuk bersama-sama memegang peranan dalam mengubah suai dan membaiki gereja itu.
Kerja pembaikan dijalankan di sebuah ruang kuno bernama Edicule yang dipercayai tempat di mana Nabi Isa pernah dibaringkan, dikafan dan dimakamkan sebelum kebangkitannya, menurut kepercayaan Kristian.
Sejak beberapa minggu lalu, buat kali pertama sejak berabad lalu, satu pasukan pemuliharaan dan penyelidik mengalihkan pelapis marmar Edicule di tengah-tengah kompleks di gereja itu. Edicule menjadi tempat di mana jutaan jemaah melutut dan berdoa kepada Tuhan mereka.
Selepas pemeriksaan rapi, pasukan itu menemui apa yang mereka percaya sebagai katil batu kapur di mana jasad Nabi Isa dikebumikan. National Geographic diberikan akses eksklusif kepada projek itu dan menyiarkan gambar dan rakaman video.
Pakar Arkeologi National Geographic, Fredrik Hiebert berkata beliau betul-betul terpempan dengan penemuan itu.
“Kami tidak dapat katakan ia 100% tetapi nampaknya ia bukti nyata yang lokasi makam itu tidak teralih oleh masa, sesuatu yang saintis dan pakar sejarah tertanya-tanya selama ini. Makam itu kini sudah ditutup kembali menggunakan pelapis marmar yang asal,” katanya.
http://www.youtube.com/watch?v=D0LkSe8OQXY
http://www.youtube.com/watch?v=GCXNF2lxK2g
http://www.youtube.com/watch?v=aCEbi82ZEzM
Sebelum ini, pernah terjadi kes pergaduhan antara paderi-paderi dari pelbagai mazhab seperti dibawah:
http://www.youtube.com/watch?v=91KdxdRpK6Y
Itulah hikmahnya Salahuddin al-Ayyubi mengarahkan keluarga Islam menjaga Holy Sepulchre demi mengelak pergaduhan antara sesama Kristian.