Thursday, June 23, 2016

Ekonomi Amerika baik tapi ramai rakyatnya miskin

US – Ekonomi Amerika Syarikat secara keseluruhan dalam keadaan baik, kata Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), dengan pertumbuhan dijangka melonjak semula walaupun dolar terlebih nilai.

Bagaimanapun, IMF memberi amaran terlalu ramai rakyat Amerika Syarikat tercicir dalam pekerjaan dan hidup dalam kemiskinan.

IMF menjangka pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat sebanyak 2.2 peratus pada 2016, penurunan daripada 2.4 peratus daripada ramalan yang dibuat pada April lalu.

Ia juga mengekalkan unjuran pertumbuhan kepada 2.5 peratus pada tahun depan dengan kadar kenaikan inflasi perlahan sejajar dengan matlamat Rizab Persekutuan untuk capai dua peratus, kata IMF dalam semakan tahunan berhubung polisi-polisi ekonomi Amerika Syarikat.

IMF juga berpendapat dolar telah terlebih nilai sebanyak 10 peratus kepada 20 peratus berdasarkan kadar pertukaran efektif sebenar berbanding pelbagai mata wang global.

Pengarah Urusan IMF, Christine Lagarde berkata, lebihan nilai dolar itu bukan disebabkan manipulasi mata wang oleh rakan dagangan Amerika Syarikat untuk mendapatkan bahagian pasaran eksport tetapi berpunca daripada situasi tidak menentu global dalam aset dolar.

“Kenaikan nilai dolar dalam tempoh 12 bulan lalu mungkin disebabkan oleh tahap ketidakpastian di sekeliling, dan juga perubahan harga komoditi yang sering mempunyai kesan langsung ke atas penilaian dolar berbanding mata wang lain,” tambah Lagarde.

Beliau juga memberi amaran terhadap kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan, sambil menyatakan ia percaya bank pusat Amerika Syarikat perlu memastikan kestabilan berada pada keutamaan tertinggi, dengan beransur-ansur.

Beliau berkata, sebarang langkah yang diambil oleh Rizab Persekutuan perlu didorong oleh data dan menyokong ekonomi.

IMF mengenal pasti empat cabaran utama kepada pertumbuhan Amerika Syarikat iaitu penurunan penyertaan tenaga buruh disebabkan usia populasi, pertumbuhan produktiviti menurun, peningkatan polarisasi masyarakat dengan keuntungan pendapatan tertumpu dalam kalangan rakyat Amerika terkaya dan terlalu banyak ramai rakyat hidup dalam kemiskinan.

Menurut IMF, data menunjukkan 46.7 juta penduduk atau 15 peratus warga Amerika Syarikat hidup di bawah paras kemiskinan termasuk satu dalam tiga isi rumah diketuai oleh wanita.

http://ift.tt/28OAlD1