Wednesday, October 26, 2016

Duit syiling lama disimpan rupanya bernilai RM1.2 juta

DUIT syiling emas yang ditemukan di dalam kotak oleh seorang lelaki dianggarkan bernilai 250,000 pound (RM1.2 juta). AGENSI

LONDON 26 Okt. – Seorang lelaki umpama menerima ‘durian runtuh’ apabila duit syiling lama yang diberikan oleh datuknya kini mencecah nilai 250,000 pound (RM1.2 juta).

Menurut Mail Online, lelaki berusia 55 tahun itu yang enggan dikenali dan berasal dari Hertfordshire, telah diberikan wang syiling dengan simbol Permaisuri Anne Vigo berusia 300 tahun ketika masih kanak-kanak.

Pada mulanya, duit syiling itu disimpan lama di dalam kotak apabila lelaki tersebut meningkat dewasa dan menemukannya kembali ketika mahu diberikan kepada anaknya.

Namun, lelaki tersebut memutuskan untuk membawa duit syiling itu kepada pelelong bagi memeriksa nilai artifak berkenaan dan tidak menyangka harganya boleh mencecah sehingga 250,000 pound.

“Datuk saya telah mengembara ke seluruh dunia untuk bekerja ketika hayatnya dan mengumpul banyak duit syiling dari pelbagai negara.

“Dia memberikan beg syiling untuk saya bermain ketika kecil. Setelah masa berlalu, duit syiling itu hanya tersimpan di dalam kotak hingga baru-baru ini, saya berikan pula kepada anak saya untuk dia bermain,” kata pemilik duit syiling berkenaan.

Gregory Tong dari Bonnington Auctioneers of Epping berkata, lelaki itu seperti tidak percaya apabila diberitahu mengenai nilai sebenar duit syiling tersebut.

“Salah seorang rakan sekerja saya melihat lelaki itu masuk ke dalam keretanya dan menjerit riang seumpama sedang meraikan sesuatu,” kata Gregory.

http://ift.tt/2eGWJSR