Wednesday, October 26, 2016

Tak mahu sengsara krisis air 1991 berulang

MELAKA – Penduduk berharap dan berdoa krisis air yang pernah melanda negeri ini pada 1991 tidak akan berulang lagi.

Bagi mereka yang pernah merasai kehidupan ketika zaman krisis air berkenaan, ia merupakan satu mimpi ngeri serta sukar dilupakan.

Ketika menceritakan pengalaman berkenaan, seorang penduduk, Zanariah Ahmad Khan, 56, berkata, dia masih ingat ketika itu semua penduduk berlumba-lumba menggali perigi di kawasan rumah masing-masing bagi mendapatkan bekalan air, sekurang-kurangnya untuk kegunaan basuhan.

Menurutnya, meskipun kerajaan negeri ketika itu menerusi Lembaga Air Melaka yang kini dikenali sebagai Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) ada membekalkan air menerusi lori-lori tangki ke kawasan penduduk namun ianya amat perit untuk dilalui.

“Kami penduduk terpaksa menyediakan bekas air yang banyak dan terpaksa menunggu lori tangki datang. Kadang-kadang setelah menunggu lama, lori langsung tidak datang. Bila ada lori tangki ada penduduk yang berebut-rebut sampai ada yang bergaduh.

“Memang penat mengangkat air ni.. Kalau hendak diceritakan semula kisah itu, maka sebablah bila dengar kemungkinan Melaka akan dilanda sekali lagi krisis air, saya bermohon agar dijauhkan,” katanya ketika menceritakan pengalamannya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Zanariah, paling tidak dilupakan apabila berlaku kematian penduduk kampung di mana masyarakat terpaksa bergotong-royong mengambil air dari perigi berhampiran untuk memandikan jenazah.

“Ketika itu, mana-mana rumah yang air periginya cantik airnya akan menjadi tumpuan penduduk kampung mengambil air. Setiap pagi dan petang ramailah penduduk pelbagai peringkat usia datang mandi di perigi yang kebanyakannya terletak di luar rumah.

“Tidak ketinggalan juga ada penduduk yang kreatif mengambil inisiatif membuat tapisan air sendiri menggunakan batuan dan arang untuk merawat air yang kelihatan keroh menjadi jernih,” katanya.

Seorang pengusaha restoran, Kosnan Sharif, 58, berkata, ketika krisis air melanda Melaka pada 1991, dia masih lagi menjalankan perniagaan makanan iaitu soto dan rojak di pasar malam.

“Memang tidak dapat digambar betapa payahnya sekiranya tiada bekalan air bersih. Ketika itu saya terpaksa mendapatkan bekalan air di tempat lain dengan mengangkutnya menggunakan tong bagi kegunaan perniagaan.

“Memanglah ada lori tangki bawa bekalan air tetapi ia tidak tetap masa.

“Jadi saya harap sekiranya berlaku lagi, pihak yang menyelenggarakan bekalan air ini perlu lebih teratur dagar tidak timbul kekecohan seperti yang pernah berlaku lebih 25 tahun lalu,” katanya.

Krisis air di Melaka pada 1991 adalah krisis air paling buruk dalam sejarah apabila Empangan Durian Tunggal yang merupakan nadi bekalan air Negeri Melaka ketika itu menjadi kering akibat kemarau.

Semalam, Sinar Harian melaporkan catuan air mengikuti giliran mungkin terpaksa dilakukan berikutan paras air tiga empangan utama iaitu Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus dan Empangan Asahan kritikal.

sumber:http://ift.tt/2dYhUkV