Friday, June 3, 2016

Pedofil di Telegram: SKMM siasat bersama Jawatankuasa khas

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan siasatan bersama Jawatankuasa Khas Membanteras Penyalahgunaan Media Sosial berkenaan maklumat yang tersebar dalam media sosial mengenai kewujudan kumpulan pedofil tempatan dalam aplikasi Telegram.

Ketua Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Datin Mai Zairani Zainal Abidin berkata melalui jawatankuasa itu, SKMM bersama Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia melakukan siasatan menyeluruh berkenaan isu itu.

“Kita menyedari mengenai kes yang diviralkan itu dan walaupun masih tiada aduan rasmi dibuat, Jawatankuasa Khas ini telah pun memulakan siasatan mengenainya,” katanya dalam sidang media di Cyberjaya hari ini.

Kewujudan kumpulan itu didedahkan oleh aktivis hak asasi manusia, Syed Azmi Alhabshi dalam laman Facebook miliknya, yang memberi amaran tentang kewujudan golongan seumpama itu di Malaysia.

Menurut Mai Zairani, kes pedofil lazimnya disiasat oleh pihak polis sementara SKMM menjalankan tanggungjawabnya dari segi siasatan forensik ke atas platform komunikasi yang digunakan.

“Kita tahu bahawa aplikasi Telegram hanyalah platform yang digunakan kumpulan itu untuk berkomunikasi dan berkongsi bahan berkenaan namun jenayah juga dilakukan secara luar talian ketika berada di luar sana,” katanya.

sumber :http://ift.tt/25E9eGl