Sunday, May 29, 2016

Indonesia rampas sebuah lagi kapal China

30/5/2016

Kapal frigat Indonesia, Oswald Siahaan 354

JAKARTA: Indonesia merampas sebuah lagi kapal China yang disyaki menangkap ikan secara haram di perairan sekitar kepulauan Natuna.

Angkatan Bersenjata Indonesia semalam (29 Mei) menyatakan bahawa kapal frigat Indonesia, Oswald Siahaan 354, sedang melakukan rondaan di perairan itu apabila ia mengesan dan menahan kapal China, Gui Bei Yu.

“Kami menahannya, kami sedang membawa kapal itu ke Natuna apabila enjinnya rosak dan kami menariknya dengan tali,” kata Laksamana Muda A. Taufiq R., Komander Armada Barat Indonesia.

Laporan media tempatan menukil Mejar Josdy Damopoli, jurucakap Pangkalan Tentera Laut Keempat di Tanjung Pinang, wilayah kepulauan Riau, sebagai berkata bahawa pengawal pantai China berada di situ sedang para pegawai Indonesia menaiki kapal nelayan itu untuk menahan para anak kapalnya.

Lapan orang dilaporkan ditahan dalam insiden pada Jumaat lalu itu.

Hubungan diplomatik antara Indonesia dan China menjadi tegang pada Mac lalu, menyusuli pertikaian antara kedua-dua negara berhubung sebuah kapal nelayan di perairan sekitar Natuna.

Kapal pukat tunda China itu ditahan atas dakwaan menangkap ikan secara haram, sementara Beijing pula menuduh Indonesia menyerang kapal tersebut di kawasan yang memang secara tradisinya menjadi tempat nelayan China menangkap ikan.

Insiden itu kemudian dihuraikan dan dianggap sebagai satu salah faham di antara kedua-dua negara.

Seorang jurucakap kementerian ehwal luar China, Hua Chunying, sebelum ini menyatakan bahawa kedaulatan kepulauan Natuna adalah milik Indonesia, dan China tidak ada sebarang bantahan terhadap hal ini.