Monday, May 30, 2016

Bekas komando Orang Asli lawan 10 perompak, seorang putus tangan

Foto Facebook John Bah Tuin

CAMERON HIGHLANDS – Seorang bekas komando berjaya menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa rompakan 10 penjenayah ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya dekat Cameron Highlands kelmarin.

Menurut laporan China Press dan Sin Chew Daily, kejadian itu berlaku sekitar jam 11 malam Sabtu lalu ketika John Bah Tuin yang berasal dari Perkampungan Orang Asli di Pos Menson dalam perjalanan dari Ringlet ke Lembah Bertam.

Tiga kenderaan tiba-tiba mengepung keretanya di bahagian depan, belakang dan tepi sebelum 10 perompak muncul dan merompak beliau.

“Kumpulan lelaki itu berusia 20-an hingga 30-an, saya cakap tak ada duit dan mereka tanya pandu kenderaan besar takkan tak ada duit?” kata Orang Asli itu yang juga seorang pengusaha rumah inap desa.

Menurutnya, beliau cedera di bahagian kepala serta badan kerana ada di kalangan penjenayah itu yang bersenjatakan topi keledar dan pisau kecil.

“Saya sempat mencapai parang yang diletakkan di tepi pintu kereta dan segera menghayun ke arah penjenayah itu menyebabkan tapak tangan seorang penjenayah terbabit terputus.

“Pihak lawan menjadi cemas dan segera melarikan diri dengan kenderaan masing-masing. Seorang daripada mereka sempat mengutip tapak tangan yang terputus itu,” katanya.

Mangsa kemudiannya menghubungi rakan beliau sebelum pulang ke rumah.

Beliau membuat laporan polis keesokan harinya.

Selepas menceritakan detik-detik cemas melawan 10 penjenayah kepada rakannya, mereka bertindak memuat naik ke laman media sosial yang seterusnya menjadi perhatian ramai.

http://ift.tt/22tI9jX