RANTAU PANJANG – “Rasa macam kaya sangat sebab penduduk di sini guna air mineral untuk basuh baju sekolah anak, malah saya juga guna 15 tong air mineral untuk keperluan itik peliharaan,” luah Loman Ismail, 75, yang merupakan penternak di Kampung Atas Banggol Che Musa, Meranti, semalam.
Menurut Loman, kampung itu tidak pernah dibekalkan dengan kemudahan paip air, sedangkan kampung berhampiran sudah lama dilengkapi kemudahan tersebut yang disediakan kerajaan.
“Sudah puluhan tahun kami minum air perigi, tapi perubahan cuaca akibat El Nino menyebabkan kami terpaksa bergantung kepada air bendang dan air mineral,” katanya.
Sementara itu, Faridah Ali, 48, berkata, air perigi akan kering setiap kali musim panas.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menggunakan air mineral untuk membasuh pakaian kerana jika menggunakan air bendang, seragam putih akan bertukar menjadi kekuningan.
“Lebih 70 peratus rumah di kampung ini mempunyai anak masih bersekolah. Cubalah fikir kesengsaraan yang kami hadapi setiap kali musim panas sejak puluhan tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JKKKP Kubang Hakim, Mohd Noor Che Isa berkata, mereka memohon pihak terbabit cakna dengan masalah air di kampung itu.
Menurutnya, kemudahan sama disediakan di kampung sekeliling, jadi tiada masalah jika dipanjangkan untuk kemudahan penduduk di situ.
“Paip boleh dibina di atas rizab jalan raya ke kampung ini, lebih kurang satu kilometer dari jalan raya utama Pasir Mas Meranti.
“Saya pernah buat permohonan rasmi bagi mendapatkan kemudahan ini pada 2000, namun sehingga kini belum mendapat maklum balas positif,” katanya.