Tuesday, May 31, 2016

Warga emas 71 tahun dipenjara cabul anak jiran

Tertuduh diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret di sini.

AYER KEROH – Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara setahun tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Februari lalu.

Tertuduh, yang berumur 71, dari Bertam Malim, Cheng dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik selepas mengangguk faham dan mengaku bersalah pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati mencabul dengan memegang kemaluan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang juga anak jirannya di sebuah rumah di Jalan Padang Japerun, Bertam Malim kira-kira jam 4 petang pada Februari 2016.

Dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dua dari hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman terhadapnya diringankan dengan alasan sudah berusia malah makan minumnya kini ditanggung oleh anak-anak.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak meminta tertuduh diberi hukuman berat supaya tertuduh tidak mengulang kesalahan tersebut selain jenayah gangguan seksual kanak-kanak juga patut dikekang mahkamah.

Selepas mendengar rayuan dan hujah kedua-dua pihak, Mohd Asri kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan bermula hari ini.

http://ift.tt/1qZCEMh