Tuesday, May 31, 2016

Wanita ditahan telefon bekas teman lelaki 27,000 kali dalam seminggu

KANADA – Seorang wanita di Kanada ditahan gara-gara mengganggu bekas teman lelakinya selepas percintaan mereka selama dua minggu berakhir.

Sin Chew Daily memetik akhbar Hong Kong, Ming Pao sebagai melaporkan tindakan Kelly Murphy itu turut menjadi rekod kes gangguan paling serius di Kanada sehingga menyebabkan lelaki terbabit hampir mengalami gangguan jiwa.

Disebabkan tidak dapat menerima hakikat ditinggalkan teman lelaki, Kelly bertindak menelefon Randy Williams sebanyak 27,639 kali dalam tempoh seminggu menggunakan lapan telefon bimbit.

Selain telefon bimbit, Kelly turut menghubungi Randy di rumah serta tempat kerjanya.

Tambahan, wanita itu turut menghantar 11,229 khidmat pesanan ringkas (SMS), 937 e-mel, 117 pesanan suara dan 47 pucuk surat tulisan tangan dalam tempoh seminggu.

Bagi mengelakkan dirinya mengantuk, wanita itu mengambil minuman bertenaga serta amfetamina.

Gangguan itu telah menyebabkan Randy tidak dapat menjalani kehidupan dan bekerja seperti biasa serta hampir mengalami gangguan jiwa.

Media tempatan melaporkan Kelly menghidap penyakit kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) dan dia didapati mengongoi selepas ditahan.

Jelasnya, dia hanya ingin tahu ke mana bekas teman lelakinya pergi dan mahu berjumpa dengannya.

Bagaimanapun, peguam Randy berharap Kelly dapat menerima rawatan supaya perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

http://ift.tt/25xWaSW