Sunday, May 29, 2016

Keldai diwajibkan pakai lampin

Keldai diharamkan daripada memasuki pekan Wajir di Kenya kecuali jika memakai lampin. AGENSI

NAIROBI 29 Mei – Pekan Wajir di timur laut Kenya melaksanakan undang-undang pelik apabila mengharamkan keldai daripada memasuki kawasan tersebut melainkan haiwan itu dipakaikan lampin.

Peraturan tersebut dibuat bagi mengelakkan haiwan tersebut membuang air merata-rata bagi melindungi jalan raya sepanjang 27 kilometer yang baru ditar di pekan Wajir.

Koresponden BBC, Abdullahi Yusuf Osman berkata, langkah itu dikuatkuasakan kerana jalan raya tersebut baru dapat dinikmati oleh penduduk Wajir dalam tempoh berpuluh-puluh tahun.

Larangan itu dikeluarkan dalam satu notis Isnin lalu berkuatkuasa Khamis lepas.

Keldai sering digunakan untuk mengangkut barang di Wajir.

“Pihak berkuasa sangat menghargai sumbangan pemilik keldai untuk ekonomi di pekan ini, namun Wajir harus sentiasa bersih dan dijaga pada setiap masa.

“Sila uruskan najis haiwan peliharaan anda dengan baik dan mana-mana keldai tidak dibenarkan masuk ke dalam pekan tanpa lampin,” jelas notis itu.

Arahan sama pernah dikeluarkan pada 2007 di pekan Limuru kira-kira 50 kilometer di barat laut Nairobi, namun tidak dikuatkuasakan.

– See more at: http://ift.tt/25vi7lx