Sunday, May 29, 2016

Mendiang Karpal Singh didenda RM1,800

PUTRAJAYA 30 Mei – Mahkamah Rayuan hari ini mengenakan denda RM1,800 terhadap mendiang Karpal Singh kerana mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada jawatan Menteri Besar Perak, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Wira Mohtarudin Baki yang bersidang bersama Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Kamardin Hashim memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan balu mendiang, Gurmit Kaur terhadap hukuman denda RM4,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Rayuan hari ini diteruskan oleh Gurmit selaku pentadbir harta Karpal selepas bekas Pengerusi DAP itu terlibat dalam kemalangan ngeri di Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Gopeng pada 17 April 2014.

Dengan keputusan itu, Gurmit layak menerima pencen mendiang selaku Ahli Parlimen Bukit Gelugor.

Kuorum berkenaan bagaimanapun menolak rayuan Gurmit terhadap sabitan dengan keputusan majoriti 2-1.

Hakim Mohtarudin dan Hakim Kamardin menolak rayuan itu manakala Hakim Tengku Maimun mencapai keputusan menentang.

Karpal didakwa kerana mempersoalkan kuasa Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ketika melantik Menteri Besar yang baharu sedangkan tindakan baginda yang juga bekas Ketua Hakim Negara dibuat berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak bertujuan menyelesaikan krisis politik ketika itu.

Karpal disabitkan melakukan perbuatan itu pada sidang akhbar antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009 di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co, No. 67, Jalan Pudu Lama di ibu negara.

– See more at: http://ift.tt/25vic95