Monday, May 30, 2016

Hanya RM10 makan sebanyak mana durian dalam masa 30 minit

Peminat durian berpuas hati dapat menikmati durian dengan harga RM10 dalam masa setengah jam.

SITIAWAN – Walaupun terpaksa menunggu lebih dua jam, namun peminat raja buah tetap sabar semata-mata mahu menikmati durian dengan kadar bayaran hanya RM10.

The Durian Festival di Taman Berjaya 2 di Jalan Tazali, Kampung Bintang sepatutnya bermula jam 9 pagi, namun pada jam 11 pagi barulah longgokan durian tiba.

Dalam masa kurang sejam, satu tan durian licin diserbu warga Manjung dan sekitarnya dalam festival pagi semalam.

Ahli Jawatankuasa (AJK) penganjur yang hanya ingin dikenali sebagai Emilia, 19, berkata, pihaknya membawa tiga trip durian dari Bukit Gantang, Trong dan Batu Kurau.

“Bayaran yang dikenakan hanya RM10 setiap seorang dan masa diberikan setengah jam untuk makan durian berkenaan.

“Pada mulanya kami hanya sasarkan pada skala kecil saja, tapi tak sangka sambutan diberikan begitu menggalakkan, malah ada yang tunggu seawal jam 7 pagi,” katanya.

Emilia berkata, ada pihak yang mengatakan festival itu tidak benar disebabkan kelewatan mereka tiba di lokasi festival.

“Kami lewat tiba disebabkan faktor tertentu dan bukannya mahu mempermainkan sesiapa kerana memang kami berhasrat untuk menganjurkan festival ini,” katanya.

Sementara itu, seorang peminat durian, Robo Ding, 35, berkata, dia bersama rakannya sanggup untuk menunggu lama semata-mata untuk menikmati buah berkenaan.

“Walaupun tunggu lama kami tidak kisah asalkan dapat makan durian dengan harga murah kerana harga durian ketika ini masih lagi mahal sehingga mencecah RM25 sekilogram.

“Di festival ini kami dapat makan durian sebanyak mungkin yang kami mahukan dengan bayaran hanya RM10 dalam masa setengah jam,” katanya yang sanggup menunggu trip kedua durian tiba ke lokasi festival.

http://ift.tt/1RExZoQ