Monday, May 30, 2016

Bawa beg plastik sendiri berbelanja di bazar Ramadan sekitar Sepang

SEPANG: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan memperkenalkan hari tanpa beg plastik di Bazar Ramadan Mampan 2016 di bawah seliaannya bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Yang Dipertuanya, Datuk Puasa Md Taib, berkata hari tanpa beg plastik itu akan dilaksanakan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad di 13 lokasi bazar Ramadan di sekitar Sepang.

Katanya, sepanjang Ramadan, MPSepang menyediakan 700 petak perniagaan yang mana bayaran untuk kos penyelenggaraan kebersihan masing-masing RM120 bagi makanan dan minuman, manakala RM150 untuk perniagaan air kelapa dan tebu.

Selain itu, katanya bagi menggalakkan langkah berjimat cermat di kalangan orang ramai, MPSepang turut menganjurkan kempen kesedaran keselamatan makanan serta mengelakkan pembaziran dalam kalangan pengguna.

“MPSepang juga akan terus melaksanakan kempen pengurangan polisterina serta menggalakkan pengguna menggunakan beg plastik mudah urai sewaktu berbelanja di bazar Ramadan.

“Kami juga akan meneruskan kempen kesedaran kitar semula dan pengumpulan minyak masak terpakai di kalangan orang ramai serta menyampaikan maklumat mengenai hal ehwal pengguna,” katanya berucap pada pembukaan Mesyuarat Penuh Ahli-Ahli Majlis MPSepang, di sini hari ini.

http://ift.tt/1PbdSnQ