Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya telah mengarahkan pengimport dan pembekal kedua-dua bahan mentah itu menyediakan bekalan mencukupi bagi menampung keperluan pengguna.
“Pengeluaran daging lembu bagi keperluan dalam negara hanya 28 peratus sahaja dan sudah tentu tidak mencukupi untuk menampung permintaan pengguna walaupun bukan pada bulan Ramadan atau musim perayaan.
“Kementerian sentiasa menyediakan bekalan yang mencukupi lebih awal untuk mengelakkan masalah kekurangan kedua-dua bahan mentah itu,” kata beliau
Tajuddin yang juga anggota Parlimen Pasir Salak berkata, demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang moreh kepada 59 masjid dan 163 surau bagi kawasan parlimen berkenaan di Masjid Al-Hidayah di sini hari ini.
Tajuddin berkata, kementerian hanya menyediakan keperluan bagi bekalan ayam dan daging manakala pengawalan harga terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
“Saya percaya KPDNKK tentu sudah bersiap sedia dengan pihak penguatkuasa untuk memantau dan memastikan harga ayam dan daging tidak naik sehingga membebankan pengguna.
“Peniaga tidak ada sebab untuk menaikkan harga sebab bekalan mencukupi dan tiada tanda-tanda bahawa kos pembekalan ayam atau kos pengeluaran daging dari negara pengimport meningkat,” katanya.-BERNAMA