AHMEDABAD: Kakitangan Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan Ahmedabad (AFES) berhadapan kejutan besar dalam melaksanakan tugas mereka apabila dimarahi seorang lelaki kerana menyelamatkan isterinya daripada mati lemas.
“Lelaki itu mempersoalkan daripada siapa kami mendapat kebenaran menggagalkan tindakan isterinya membunuh diri.
“Malah beliau merakamkan gambar kami dan mengancam akan berurusan dengan kami. Ketika itu kami memutuskan untuk memaklumkan kepada polis,” kata salah seorang anggota bomba, Bharat Mangela.
Pasukan penyelamat AFES bergegas ke sebatang sungai selepas seorang wanita berusia 37 tahun melompat ke dalamnya dari kaki lima.
Selepas berjaya menyelamatkan wanita itu, pasukan bomba memaklumkan kepada suaminya, yang tiba di lokasi dalam keadaan marah; menjerit kepada pasukan bomba, mempersoalkan mengapa mereka menyelamatkan isterinya.
“Reaksi beliau memang mengejutkan kerana secara umum orang ramai akan berterima kasih kerana menyelamatkan nyawa orang tersayang.
“Beliau enggan mendengar bahawa menjadi tuga kami menyelamatkan nyawa orang lain,” kata Mangela.
Perkara itu dilaporkan kepada balai polis yang turut merekodkan kenyataan lelaki berkenaan, isterinya dan kakitangan AFES.
Jurucakap polis, Inspektor JA Bhagora, berkata pasangan itu yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak ialah daripada keluarga kaya.
“Masalah rumah tangga menjadi punca wanita berkenaan bertindak demikian,” katanya.
Sumber berkata, wanita terbabit mengaku sudah jemu bertengkar kerana suaminya mengesyaki beliau menjalin hubungan sulit walaupun disangkal.
Sementara itu, beliau juga mengesyaki suaminya menjalin hubungan dengan wanita lain.
“Wanita itu bersetuju untuk balik dengan suaminya selepas pasangan itu memutuskan untuk menyelesaikan pergaduhan mereka,” kata sumber. – AGENSI