Saturday, October 29, 2016

Parkir kereta berharga RM2.6 juta

Seorang pemilik kediaman di 55 Conduit Road menjual lot parkir miliknya pada harga HK$4.8 juta (RM2.6 juta) kepada penghuni lain, Khamis lalu.

HONG KONG – Sebuah lot tempat letak kereta di kompleks pangsapuri mewah di Hong Kong dijual pada harga HK$4.8 juta (RM2.6 juta) kelmarin, lapor portal South China Morning Post.

Lot parkir seluas 12.5 meter persegi di 55 Conduit Road itu mencatat rekod jualan parkir termahal di bandar raya Hong Kong setakat ini.

Pemilik asalnya yang berasal dari tanah besar China telah membeli unit pangsapuri bersama lot parkir itu pada harga HK$56 juta (RM30.3 juta) bulan lalu.

Dia kemudiannya dilaporkan menjual semula lot parkir itu kepada seorang penghuni lain yang sudah memiliki lot parkir sendiri pada minggu lalu.

Pada Mei 2014, sebuah lot parkir di 39 Conduit Road dijual pada harga HK$4.24 juta (RM2.2 juta).

Jualan itu melonjakkan reputasi Conduit Road sebagai tempat paling mahal untuk meletakkan kenderaan di Hong Kong.

Firma hartanah Phoenix Property Investor mengumumkan tawaran jualan sebanyak 54 lot parkir di pangsapuri The Morgan di 31 Conduit Road pada harga antara HK$3.28 juta (RM1.7 juta) hingga HK$4.38 juta (RM2.3 juta) setiap satu pada Sabtu lalu.

“Minat pelabur dalam sektor ini semakin meningkat disebabkan kekurangan tempat letak kenderaan khususnya di Mid-Levels,” kata Pengarah Urusan Centaline Property Agency, Louis Chan.

Menurut laporan portal itu, kos untuk meletak kenderaan di Mid-Levels adalah jauh lebih mahal berbanding harga seunit kediaman di daerah Sha Tin, utara pulau itu, yang mana sebuah flat seluas 30.38 meter persegi dijual pada harga HK$4.3 juta (RM2.3 juta).

Lot parkir mengalami kenaikan harga mendadak di Hong Kong kerana pulau itu tidak mempunyai ruang secukupnya bagi menampung keperluan isi rumah kaya yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan.

“Penduduk di hartanah mewah mempunyai lebih daripada satu kereta. Mereka terpaksa membeli lot parkir tambahan pada harga lebih tinggi,” kata Chan. – Agensi

http://ift.tt/2eHGCH7