Sunday, October 30, 2016

Polis jujur saman diri sendiri lepas langgar lampu merah

RAKAMAN video keselamatan menunjukkan kereta peronda dipandu Glover melanggar lampu isyarat di persimpangan jalan raya. – Agensi

Haines (Amerika Syarikat): Seorang anggota polis di sini dianggap sebagai polis paling jujur selepas mengemukakan saman terhadap diri sendiri kerana tidak mematuhi lampu isyarat.

Tim Glover berkata, dia meneliti rakaman kamera keselamatan di satu persimpangan jalan raya di bandar ini pada minggu lalu untuk mengesan pesalah trafik.

Dia kemudian melihat sebuah kereta peronda polis melintasi persimpangan itu ketika lampu isyarat sudah bertukar merah.

Apabila Glover membesarkan nombor pendaftaran kereta itu, dia mendapati kenderaan itu adalah miliknya.

Kata Glover, dia tidak menyedari dia melanggar lampu merah ketika pulang dari membeli sandwic untuk makan tengah hari.

“Alamak, itu adalah saya sendiri,” kata Glover kepada sebuah akhbar tempatan.

Glover tidak menafikan ada pilihan untuk mengabaikan video berkenaan, sebaliknya dia menggunakan rakaman itu sebagai bukti untuk menyaman dirinya sendiri.

Kerana kesalahan itu Glover dikenakan denda AS$158 (RM664) dan diberi amaran.

“Saya perlu bersikap adil kerana saya pernah memberi saman kepada kawan, rakan setugas dan juga ahli keluarga saya sendiri.

“Saya diajar untuk bertanggungjawab sekiranya melakukan sebarang kesalahan dan menerima hukumannya,” jelasnya. – Agensi

http://ift.tt/2dTO9TW