Monday, October 31, 2016

PM Najib tiba di Beijing untuk lawatan seminggu ke China

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, China tengah hari ini, untuk memulakan lawatan rasminya ke China selama seminggu. – Foto Twitter

BEIJING: Datuk Seri Najib Razak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing tengah hari ini, untuk memulakan lawatan rasminya ke China selama seminggu.

Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, disambut oleh Timbalan Menteri Luar China, Liu Zhen Min; Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya dan isteri, Datin Fairos Ishak.

Majlis sambutan rasmi akan diadakan di Great Hall of the People petang esok, diikuti pertemuan antara Najib dan Perdana Menteri China, Li Keqiang.

Ini diikuti dengan mesyuarat dua hala antara Malaysia dan China.

Antara perkara dijangka dibincang pada mesyuarat itu ialah kerjasama dua hala dalam perdagangan dan pelaburan, pendidikan serta pelancongan, selain hubungan antara rakyat.

http://ift.tt/2f7SjUn

Quote:

Najib dijadual bertemu pengasas Alibaba

BEIJING 30 Okt. – Dalam lawatannya ke China yang bermula esok, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antaranya dijadualkan bertemu dengan Jack Ma, Pengerusi Alibaba Group, iaitu seorang bilionair yang menguasai bisnes teknologi maklumat di China dengan kekayaannya dianggarkan sebanyak AS$27.7 bilion (RM116.3 bilion).

Najib dijadualkan bertemu dengan Ma dalam mesyuarat meja bulat bersama tokoh bisnes terkemuka China.

Dalam taklimatnya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini menjelang lawatan rasmi Perdana Menteri ke China yang akan bermula esok, Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya berkata, Najib bakal melancarkan Alitrip Malaysia Tourism Pavilion, salah satu platform e-dagang terbaru yang diperkenalkan dengan kerjasama Alibaba Group.

“Platform e-dagang itu akan memudahkan pelancong, terutamanya pelancong warga China, untuk mengenali destinasi menarik pelancongan di Malaysia.

“Melalui penyertaan Tourism Malaysia dalam Alitrip, Malaysia akan dapat memperluaskan lagi dan memperkenalkan pelbagai destinasi dan produk pelancongan yang menarik kepada rakyat China, selaras dengan usaha kerajaan Malaysia untuk menarik lebih ramai pelancong China melawat Malaysia,” katanya.

Mengenai perjanjian persefahaman yang akan dimeterai semasa Perdana Menteri berada di China, Zainuddin berkata, Najib akan menyaksikan majlis menandatangani beberapa perjanjian antara kerajaan kedua-dua negara dalam bidang pertahanan, ekonomi, pertanian, pendidikan, kewangan dan pembinaan.

Beliau menjangkakan sebanyak 10 perjanjian persefahaman akan ditandatangani antara kerajaan China dan Malaysia dan juga lebih 10 perjanjian persefahaman antara syarikat swasta kedua-dua negara.

Antaranya, perjanjian persefahaman berkaitan pelaburan dalam sektor-sektor seperti pelaburan, pembangunan, pembinaan, kewangan, e-dagang, pengeluaran panel solar, pembinaan pelabuhan, pembinaan paip gas dan pembinaan loji desalinasi air laut.

Perdana Menteri juga akan membuat beberapa lawatan di luar Beijing, termasuk mengunjungi Taman Perindustrian Baru Gu’an di wilayah Hebei di selatan Beijing dan menaiki kereta api laju dari Beijing ke Tianjin, sebuah kota yang terletak di tenggara ibu kota China, yang perjalanan sejauh 138 kilometer hanya mengambil masa 30 minit.

Di Tianjin, Perdana Menteri akan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian operasi untuk projek desalinasi air laut dan pembuatan garam antara syarikat Xianda dari Malaysia dengan Suruhanjaya Pembangunan Kawasan Ekonomi-Teknologikal Tianjin.

Seperti lazimnya semasa beliau mengadakan lawatan ke luar negara, kata Zainuddin, Perdana Menteri dan isteri akan menghadiri majlis makan malam bersama-sama dengan 500 orang komuniti dan pelajar-pelajar Malaysia di Beijing pada Jumaat ini.

Perdana Menteri juga dijadualkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Dongzhimen di sini, sebuah masjid yang dibina pada era Dinasti Yuan (1271-1368). Masjid itu telah pun berusia kira-kira 700 tahun.

http://ift.tt/2eL6pOw