PASIR GUDANG – “Kalau saya atau Izati ada buat salah dengan sesiapa, tolong maafkan kami kerana saya mahu anak saya sembuh dan meneruskan persekolahannya,” rayu ibu remaja yang menghidap penyakit misteri.
Syarul Bariah Ibrahim, 41, berkata, anak sulungnya, Norsyasya Izati Ramlee (Izati) yang merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Alam 1 menderita penyakit misteri selepas kehilangan berat badan secara mendadak dan perutnya tiba-tiba membesar sejak April lalu.
Menurutnya, selepas seminggu langsung tidak menjamah makanan kerana hilang selera makan, Izati dirujuk ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan, namun segera diarahkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Doktor kata tekanan darah terlalu rendah dan disahkan menghidap penyakit tibi kronik sehingga terpaksa keluar masuk wad sejak enam bulan lalu.
“Bagaimanapun saya ada juga berikhtiar melalui perubatan tradisional di merata tempat selepas musykil dengan keadaan perut Izati yang begitu cepat membesar, sedangkan berat badannya susut sehingga 24 kilogram sahaja, tapi belum membuahkan hasil,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Syarul Bariah berkata, perut Izati akan disedut setiap kali berat badannya mencecah sehingga 30 kilogram dan akan mengeluarkan air yang berwarna kekuningan.
Menurutnya, Izati seorang anak yang pendiam, tetapi sangat aktif terlibat dengan pelbagai program di sekolah.
“Ibu mana yang tak sedih melihat anak yang sebelum ini sihat dan menjadi contoh pada dua adiknya yang berusia tujuh dan 11 tahun kini hanya terbaring kaku di katil hospital.
“Saya terlalu teringin ingin melihat dia sembuh semula dan dapat kembali ke sekolah dan boleh berjalan seperti dulu serta menguruskan dirinya sendiri seperti sebelum ini,” katanya.