Thursday, October 27, 2016

Lelaki Bangladesh didakwa perdagang empat rakan lelaki

Quote:

KUALA LUMPUR – Seorang juruwang restoran warganegara Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan memperdagangkan empat lelaki senegaranya bagi tujuan kerja secara paksa

Mohammad Billal Hossain Bhuiyan, 33, didakwa memperdagangkan Nazmul, 28, Masum,19, Hasan, 31, dan Md Bulbul, 35, yang bekerja di restoran sama dengannya bagi maksud eksploitasi kerja paksa di sebuah restoran di Jalan Jejaka 7, Taman Maluri, Cheras, di sini pada pada 1.37 petang, 12 Oktober lepas

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan

Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam tidak menawarkan sebarang wang jaminan atas alasan kes membabitkan pemerdagangan dan eksploitasi manusia merupakan kes yang tidak boleh dijamin, selain tertuduh merupakan warganegara asing

Bagaimanapun, Najwa berkata, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, beliau memohon syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sebagai menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah sehingga kes selesai

Peguam Noor Mousa Azaddin yang mewakili tertuduh, memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin dengan alasan tertuduh sudah tiga tahun berada di Malaysia dan perlu menyara isteri, anak dan ibu bapa yang berada di Bangladesh selain dia telah direman selama 14 hari

Hakim Madihah Harullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu dia perlu melapor diri di balai polis pada minggu pertama setiap bulan

Beliau juga mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan menetapkan 7 November untuk sebutan semula kes

http://ift.tt/2ee5T8L