Thursday, October 27, 2016

PM Najib lancar NSOF, gabungan unit elit PDRM, ATM, APMM

Demonstrasi NSOF di Sungai Besi.

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan Pasukan Operasi Khas Nasional (NSOF) bagi menunjukkan komitmen kerajaan menangani keganasan secara bersepadu.

Najib berkata, pasukan berkenaan adalah pertama di dunia menggabungkan kekuatan darat, laut dan udara yang dianggotai seramai 17 pegawai dan 170 anggota.

Katanya, NSOF berperanan sebagai satu pasukan tetap untuk bertindak pantas pada setiap masa bagi menangani ancaman keganasan terhadap kepentingan negara.

“Pasukan ini dianggotai oleh elemen pasukan khusus dari Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Penubuhan pasukan ini adalah sebahagian daripada inisiatif keselamatan negara di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Pengoperasian NSOF bergantung pada segala bentuk ancaman keganasan terhadap kepentingan dan keselamatan negara serta bertindak sebagai pasukan tindakan pantas bagi membendung keganasan diperingkat awal,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pasukan Operasi Khas Nasional (NSOF), di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Shahidan Kassim dan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain.

Najib berkata, pasukan berkenaan akan ditempatkan di Kem Perdana Sungai Besi bagi memudahkan mereka diatur gerakkan dengan pantas sewaktu kecemasan.

Quote:

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melancarkan Pasukan Operasi Khas Nasional, NSOF di Kem Perdana Sungai Besi hari ini.

NSOF adalah satu pasukan bersepadu yang berperanan sebagai satu pasukan tetap untuk bertindak pantas pada sebilang masa bagi menangani ancaman keganasan terhadap kepentingan negara.

Pasukan ini meliputi Angkatan Tentera Malaysia ATM, Polis DiRaja Malaysia PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, APMM






http://ift.tt/2fimkFa