KUALA LUMPUR – Pas berpendirian tidak menyertai perhimpunan Bersih 5.0 yang dijadualkan pada 19 November ini.
Pendirian itu dimuktamadkan Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan dalam kenyataan yang dikeluarkan parti itu hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pada 2 Oktober lalu berkata, parti itu memutuskan tidak menyertai Bersih 5.0 yang dilihat mempunyai matlamat yang tidak selari dengan Pas.
Nasrudin menegaskan parti itu kini sedar bahawa sebarang bentuk kerjasama dengan DAP hanya merugikan pihaknya justeru mereka tidak akan mengulangi kesilapan serupa dengan menyertai Bersih 5.0.
Tambahnya, perhimpunan Bersih 4.0 sebelum ini penuh dengan perbuatan biadab menghina pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam serta mengotorkan ibu negara bahkan, ia lebih banyak disertai kaum Cina serta penyokong DAP.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng seolah-olah merayu kepada bekas sekutunya dalam pakatan pembangkang itu untuk menyertai Bersih 5.0.
Pas sebelum ini enggan menyertai Bersih 4.0 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos tahun lalu dimana telah mengakibatkan jumlah peserta dalam kalangan orang Melayu merosot dengan mendadak.