LONDON 13 Okt. – Ekoran mempunyai nombor siri yang istimewa, sekeping wang kertas bernilai lima pound (RM25.66) mendapat perhatian para pembida di laman lelongan terkenal, eBay.
Menurut laporan Mail Online, wang kertas tersebut yang mempunyai nombor siri AK47 itu kini mencapai nilai bidaan sebanyak 65,000 pound (RM333,578.07).
Pemilik kepada wang kertas berkenaan, Gareth Wright, mula melelong wang kertas tersebut sejak 3 Oktober lalu dan tidak menyangka dapat menerima bidaan yang banyak.
Wright memberitahu The Sun bahawa telefon bimbitnya tidak berhenti berdering sepanjang malam ketika mula-mula melelong wang kertas tersebut.
Namun, pihaknya bimbang akan menjadi sasaran oleh pelawak prank ekoran nilai bidaan secara tiba-tiba naik dengan mendadak.
Walau bagaimanapun, jurucakap eBay menegaskan sebarang bidaan yang dilakukan oleh pembida akan tetap diteruskan.
“Apabila kami percaya berlakunya sebarang aktiviti yang tidak sihat, kami akan mengambil peranan aktif dalam memantau penjualan untuk para penjual,” kata jurucakap eBay yang tidak didedahkan namanya.
Sejak dilancarkan pada September lalu, wang kertas lima pound baharu dengan nombor siri terendah menjadi barangan berharga untuk para pengumpul.