Wednesday, June 1, 2016

Penduduk gempar serpihan roket angkasa terhempas

Serpihan daripada sebuah roket angkasa terhempas berhampiran kediaman sebuah perkampungan di pinggir bandar Tianzhushan, utara China. AGENSI

SHANXI 1 Jun – Para penduduk di sebuah perkampungan di pinggir bandar Tianzhushan, utara China, gempar selepas serpihan sebuah roket angkasa ‘terhempas’ berhampiran kediaman mereka dan menyebabkan beberapa kerosakan harta benda.

Portal Mail Online melaporkan, serpihan tersebut cukup besar dan dikatakan terhempas ketika sebuah satelit pemetaan geologi, Ziyuan-3 dilancarkan ke angkasa lepas, kelmarin.

Penduduk mendakwa, kejadian tersebut mampu mengancam kehidupan mereka.

Malah mereka mengadu terdengar bunyi dentuman kuat ketika serpihan selebar hampir dua meter itu jatuh berhampiran sebatang jalan raya yang sibuk dengan kenderaan.

Serpihan-serpihan lain turut ditemukan di kawasan semak, tidak jauh daripada kawasan laluan pejalan kaki yang selalu digunakan penduduk.

Pihak berkuasa tempatan mengambil maklum kejadian itu dan mengerahkan kakitangan mereka ‘mengutip’ serpihan terbabit yang dikatakan hak milik kerajaan.

Namun, para penduduk setempat melahirkan rasa marah terhadap kerajaan atas kegagalan mengambil kira keselamatan orang awam sebagai pertimbangan utama kerana kejadian itu mampu menyebabkan kemalangan serius atau mengundang maut.

Pada Ogos tahun lalu, serpihan besar dipercayai bahagian enjin sebuah satelit terhempas di bumbung sebuah rumah dua tingkat dekat sini, ketika satelit berkenaan dilancarkan ke angkasa lepas.

Pemilik rumah berkenaan nyaris maut dalam kejadian yang memaksa kerajaan memberikan pampasan sewajarnya kepada penduduk terlibat.

Ziyuan-3 dilancarkan kelmarin dan mampu meningkatkan sistem komunikasi serta pemetaan geologi dengan teknologi angkasa yang dibangunkan oleh anak tempatan.




– See more at: http://ift.tt/1P7bitC