Thursday, June 30, 2016

Raih RM10,000 sehari jual kerepek, biskut raya

BERANEKA biskut dan kuih raya dijual dengan harga berpatutan di pasar Wakaf Che Yeh sempena sambutan Aidilfitri yang diraikan minggu hadapan. – Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Hanya dengan menjual biskut raya dan kerepek selama 15 hari di bulan Ramadan, sepasang suami isteri mampu meraih pendapatan sehingga RM10,000 sehari.

Uniknya, perniagaan biskut dan kerepek diusahakan Shafie Wan Mahmood, 37 dan isterinya, Nasuha Husain, 30, dilakukan 24 jam sehari sejak 15 Ramadan lalu.

Pasangan itu adalah peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh sejak 10 tahun lalu dan mempunyai 15 pekerja yang membantu setiap kali musim perayaan.

“Stok yang kami sediakan mencecah hampir 12,000 bekas dengan 50 jenis, antaranya suji, makmur, tart nenas, kuih siput serta empat jenis kerepek dengan modal dianggar mencecah RM100,000,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Tahun lalu, katanya, hasil jualan lebih tinggi apabila memperoleh RM18,000 sehari.

“Kami mendapat bekalan biskut raya dari kawasan setempat dan Johor Bharu, manakala harga ditawarkan untuk sebalang biskut hanya RM15,” katanya.

Shafie menjangkakan jualannya melonjak bermula esok apabila cuti sekolah bermula dan dijangka ramai yang akan mengunjungi Wakaf Che Yeh.

“Kebiasaannya jika sasaran keuntungan sudah dicapai, kami akan melakukan lelongan bagi menghabiskan stok pada harga lebih murah,” katanya.

Selanjutnya di : http://ift.tt/29eT5Bd