Tuesday, June 28, 2016

China marah Dalai Lama bertemu Lady Gaga

BEIJING: Pemerintah China pada Selasa memberitahu pertemuan bintang pop Lady Gaga dengan pemimpin spiritual Tibet Dalai Lama telah menimbulkan kemarahan di negara itu.

Itu termasuk kritikan dari pengguna internet yang menyatakan bahawa Lady Gaga tidak sepatutnya berjumpa dengan individu yang dianggap China sebagai berfahaman pemisah, lapor Reuters.

Kemarahan itu tercetus selepas penyanyi itu memuat naik beberapa gambarnya dengan Dalai Lama pada Ahad di sebuah persidangan di Indianapolis, Amerika Syarikat (AS), ke dalam akaun Twitter dan Instagramnya.

Lady Gaga, yang terkenal dengan lagu Bad Romance dan Born This Way, berbual dengan Dalai Lama tentang beberapa topik termasuk layanan terhadap golongan miskin dan kesihatan mental.

China menganggap Dalai Lama membawa fahaman pemisah yang berbahaya, sedangkan Dalai Lama hanya mahukan autonomi di tanah asalnya.

Dalai Lama terpaksa meninggalkan Tibet dan hidup dalam buangan di India pada tahun 1959 *selepas kegagalan usaha menentang undang-undang China.

“Terdapat pemahaman yang luas di peringkat antarabangsa tentang sikap Dalai Lama dan apa yang dilakukannya,” ujar jurucakap Kementerian Luar China, Hong Lei.

Sama ada Lady Gaga mahupun pihak Kementerian Kebudayaan China, yang menyelaras aktiviti artis luar negara di China, masing-masing belum memberi maklum balas berkenaan kes tersebut.

Penyanyi itu popular dalam kalangan golongan muda China namun belum pernah menjayakan konsert di tanah besar China, sebaliknya hanya pernah berbuat demikian di Macau dan Hong Kong.

“Lady Gaga, kau tidak akan kembali ke China,” kata seorang pengguna blog mikro Weibo, manakala banyak komen lain yang menggunakan bahasa kesat dan menghina selebriti itu.

Pertemuan sebegitu dengan Dalai Lama sering membuatkan golongan selebriti menyenarai hitam negara China.

Pada 2008, penyanyi dari Iceland, Bjork, melaungkan “Tibet! Tibet!” pada konsert di Shanghai selepas mempersembahkan lagu Declare Independence, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang pemerintah dan peminat tempatan.

http://ift.tt/291cVwC

China dakwa Dalai Lama berniat jahat

BEIJING 27 JUN – China memberi amaran kepada penduduk dunia supaya berhati-hati dengan niat jahat Dalai Lama, selepas pemimpin Tibet itu mengadakan pertemuan dengan penyanyi terkenal Lady Gaga semasa lawatannya ke Amerika Syarikat, dan bercakap mengenai cinta dan kasih sayang.

“Lawatan dan aktivitinya di luar negara hanya bertujuan mempromosi cadangannya untuk kemerdekaan Tibet,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Hong Lei, hari ini.

Beijing sering mengecam pemimpin agama itu sebagai seorang tokoh politik yang mempromosi perpecahan bagi membawa wilayah Himalaya itu keluar dari China.

Dalam pada itu, Dalai Lama berkata, beliau hanya menuntut kuasa autonomi yang lebih luas daripada China.

Semalam, sebelum bercakap pada satu persidangan di Indianapolis yang dihadiri datu-datuk bandar Amerika, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Lady Gaga.

Laman web rasmi pejabat Dalai Lama melaporkan bahawa Lady Gaga telah menemubual Dalai Lama secara langsung melalui Facebook.

Penyanyi itu telah bertanya bagaimana mahu membantu golongan muda menanam kekuatan diri atau membantu mereka yang suka menganiaya diri sendiri, dan pemimpin Tibet itu menjelaskan bahawa pendekatan yang betul ialah mereka perlu “memberi perhatian lebih kepada nilai-nilai dalaman seperti cinta dan kasih sayang.”

Ketika ditanya tentang pertemuan Dalai Lama dengan Lady Gaga, Hong berkata: “Kami berharap masyarakat antarabangsa benar-benar sedar tentang niat sebenar pemimpin (agama) itu.”

Dalai Lama turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Barack Obama dua minggu lalu, yang turut menerima kecaman daripada China. – AP

http://ift.tt/295hWY2