Tuesday, June 28, 2016

Harga dan bekalan makanan terkawal pada musim perayaan

Quote:

PUTRAJAYA: Kempen hari ke-13 Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri, yang dilaksana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merekodkan sebanyak 25,264 premis diperiksa di seluruh negara

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh, berkata jumlah itu merangkumi 868 premis bagi kategori borong dan 24,396 premis kategori runcit

“Operasi 13 hari itu membabitkan kira-kira 2,600 anggota penguatkuasaan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak

“Sepanjang tempoh pemeriksaan, sebanyak 29 aduan direkodkan iaitu tujuh bagi kategori borong dan 22 runcit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Lawatan Pemantauan Harga di Bazar Ramadan Putrajaya Presint 3, di sini, hari ini

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) KPDNKK, Datuk Basaruddin Sadali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) KPDNKK, Datuk Razali Othman

Kata Jamil, semua aduan yang diterima oleh pihaknya masih dalam siasatan dan jika didapati bersalah, peniaga akan dikenakan kompaun atau penalti

“Sehingga kini, kita sudah rekodkan sebanyak 327 kes di seluruh negara, merangkumi 11 kes membabitkan peniaga borong dan 316 runcit

“Jumlah rampasan daripada pemeriksaan yang dilakukan adalah RM31,798.52 termasuk borong (RM3,110.50) dan runcit (RM28,688.02)

“Selain itu, jumlah kompaun yang dicatat adalah sebanyak RM44,440 iaitu borong (RM2,950) dan runcit (RM41,490),” katanya

Tambah beliau, secara keseluruhan, setiap barangan berada di bawah kawalan dan tidak mempunyai isu yang ketara di mana-mana premis di seluruh negara

“Semua barangan keperluan terutama di musim perayaan ini mencukupi dan harga berada dalam keadaan terkawal. Tindakan tegas akan diambil jika ada peniaga yang menaikan harga,” katanya