Tuesday, June 28, 2016

Budak 6 tahun terperangkap 15 jam dalam lif

KUALA LUMPUR: “Saya menangis meminta tolong tapi tidak ada orang dengar sehingga tertidur sebab lapar dan panas,” kata Harith Muqri Mohd Zuraimi yang melalui pengalaman menakutkan ketika terperangkap kira-kira 15 jam dalam lif di kuarters kerajaan Jalan U-Thant, Desa Pandan, semalam.

Ketika ditemui di rumahnya di Blok E kuarters itu malam ini, Harith Muqri, 6, kelihatan lemah dan kurang bercakap kerana masih terkejut dengan kejadian menimpa dirinya.

“Saya pergi ke Blok C untuk mencari kakak di rumah kawannya tapi dia tiada. Saya masuk lif bomba untuk balik rumah tapi lif berhenti secara tiba-tiba, namun lampu bernyala,” katanya yang menceritakan kejadian itu.

Harith Muqri berusaha untuk membuka lif itu sebaik terperangkap kira-kira jam 6 petang semalam, tetapi gagal.

Jeritannya pula tidak didengari penghuni pangsapuri itu kerana mereka dipercayai tidak mengendahkan lif itu yang rosak kerana masih ada dua lif yang berfungsi di blok berkenaan.

Kehilangan Harith Muqri turut menjadi viral di media sosial pagi tadi selepas ibu bapanya membuat laporan polis semalam apabila menyedari anak mereka tidak pulang menjelang waktu berbuka puasa.

Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila ditemui selamat oleh ibu bapanya walaupun dalam keletihan dan kelaparan kira-kira jam 9 pagi tadi.

Sementara itu, bapanya, Mohd Zuraimi Idris, 37, berkata isterinya pergi ke Taska di blok berhampiran pagi ini untuk bertanyakan rakan anaknya mengenai kehilangan Harith Muqri.

Seorang daripada rakannya memberitahu terlihat kelibat anaknya itu di lif Blok C selepas bermain petang semalam.

“Kami terus ke lif berkenaan dan terdengar suara seolah-olah budak meminta tolong. Isteri saya cuba membuka lif dan ternampak kelibat Harith Muqri dalam lif sebelum meminta bantuan untuk mengeluarkannya.

“Kami bersyukur apabila dia dijumpai dalam keadaan sihat walaupun agak lesu kerana panas dan lapar,” katanya.

http://ift.tt/29c6aZm