Tuesday, June 28, 2016

UTC pertama di Terengganu dilancar

Quote:

KUALA TERENGGANU: Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Terengganu di Paya Bunga Square adalah antara yang terbaik di negara ini kerana mempunyai pelbagai kemudahan lengkap pada satu tempat

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata selain menempatkan 30 pejabat termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta

UTC itu juga dilengkapi kemudahan pusat rekreasi merangkumi gelanggang futsal, pusat memanah, gelanggang ping pong, pusat snuker dan pusat belia untuk aktiviti Kementerian Belia dan Sukan (KBS)

Selain itu, ia turut mempunyai bilik mesyuarat, Taska Permata dan banyak ruang niaga yang disediakan khusus untuk usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini mempromosi serta menjual produk mereka

“Saya dapat katakan bahawa rakyat Terengganu bertuah kerana menikmati satu lagi kemudahan baharu dengan beroperasinya UTC sejak semalam

“Dengan adanya kemudahan ini, rakyat tidak perlu lagi bersusah payah dan membuang masa di jalan raya kerana kesesakan lalu lintas, beratur panjang dan pergi banyak tempat untuk menyelesaikan urusan mereka

“Di sini, kita ada semua kemudahan dan UTC Kuala Terengganu adalah antara yang terbaik pernah ada di negara ini kerana ia menyediakan semua kemudahan pada satu hentian,” katanya selepas Majlis Soft Launching UTC Negeri Terengganu, di sini, hari ini

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda dan Pengarah Unit Strategi Nasional Kementerian Kewangan, Dr Aminuddin Hassan

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata, UTC Terengganu ditempatkan di dua komponen pembangunan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) iaitu di Paya Bunga Square dan Paya Bunga Sentral dengan kos pengubahsuaian sebanyak RM38 juta dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan

Katanya, pengubahsuaian mengambil masa hanya 12 minggu bermula 22 Mac lalu dan memberi keselesaan maksimum dengan menyediakan ruang luas dan mempunyai 1,500 lot meletak kenderaan

“Saya berharap rakyat dapat menggunakan kemudahan ini termasuk pusat rekreasi dengan sebaik-baiknya,” katanya