Saturday, June 25, 2016

Najib umum rombakan Kabinet esok?

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak sedang mempertimbangkan barisan Kabinet baharunya.

Perdana Menteri bagaimanapun memberitahu, beliau memerlukan masa untuk memikirkan mengenai rombakan tersebut.

“Saya memerlukan masa untuk memikirkannya,” kata beliau dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn, pada Jumaat.

*****

Empat Ahli Parlimen bakal dipilih bagi mengisi dua jawatan menteri dan dua timbalan menteri dalam rombakan kecil Kabinet esok.

Walaupun ada lima kekosongan jawatan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka hanya mengisi empat daripadanya.

Jawatan itu ialah dua menteri di Jabatan Perdana Menteri dan satu menteri di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta masing-masing satu timbalan menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

MalaysiaGazette difahamkan, satu lagi jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dikosongkan Datuk Seri Idris Jala yang menjaga Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), tidak akan diisi.

Kekosongan tiga jawatan menteri berlaku berikutan Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Idris tamat tempoh Senator serta Datuk Seri Douglas Uggah Embas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Mei lalu dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Dua jawatan timbalan menteri kosong pula berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu dan pelantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sebagai Menteri Besar Kedah.

Berikutan itu, Najib dikatakan akan memilih dua Ahli Parlimen iaitu masing-masing dari Selangor dan Kedah bagi mengisi jawatan timbalan menteri mengikut kuota negeri.

Setakat ini, nama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizan Ibrahim disebut-sebut bakal dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, manakala seorang Ahli Parlimen dari Kedah akan mengisi jawatan timbalan menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Menurut sumber, Najib akan mengumumkan barisan baru Kabinet di Putrajaya esok dan majlis angkat sumpah dilakukan pada Selasa di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

http://ift.tt/28VOJtm
http://ift.tt/28VOG0G