Saturday, June 25, 2016

Zahid Hamidi kongsi kisah pernah jadi tahanan ISA


KUALA LUMPUR 25 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkongsi dengan penonton Astro Awani mengenai pengalaman hidupnya termasuk sebagai seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menerusi segmen ‘ObvioUsly Harith Iskander (OHI)’.

Rancangan bual bicara bersahaja itu akan turut mengupas pengalaman Ahmad Zahid sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika di Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pertahanan.

Apa yang menarik ialah, Ahmad Zahid yang memasuki set rakaman menggunakan motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson dan lengkap berjaket akan turut menceritakan mengenai kisah kehidupan beliau ketika dijaga oleh keluarga angkat berbangsa Cina ketika kecil.

“Saya mula menunggang motosikal pada tahun 1973 ketika mendaftar di Universiti Malaya. Motosikal pertama saya ialah Yamaha 250cc, hadiah daripada arwah ayah saya.

“Malah apabila tamat pengajian, saya tidak membeli kereta tetapi motosikal jenis scrambler. Teman wanita yang kini isteri saya sangat berminat dengan kedua-duanya….motosikal dan saya,” katanya, sambil menambah beliau adalah presiden Persatuan Superbike Malaysia (SAM).

Menjawab soalan Harith mengenai pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Tun Dr Mahathir daripada Umno semalam, naib presiden Umno itu berkata, ahli Umno perlu setia kepada parti.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata beliau setia kepada parti walaupun pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1998.

“Saya sabar, ikut arus dan setia kepada parti dan kini saya berada di sini…kesetiaan adalah penting,” katanya.

Menurutnya arena politik masa kini lebih canggih dengan cabaran baharu perlu diberi perhatian terutama melibatkan generasi muda.

“Perubahan minda berlaku dan emosi mereka juga berubah kerana golongan ini kini lebih cerdik, pandangan yang lebih kritikal…ini apa yang kita panggil Gen Y dan Z,’ katanya.

Semasa segmen tersebut, Ahmad Zahid dihadiah kek sempena sambutan Hari Bapa oleh tujuh orang cucunya kerana beliau tidak sempat menyambutnya pada hari berkenaan kerana sibuk dengan jadual tugasnya.

Rancangan bual bicara itu turut menampilkan artis komedi pentas, Butch Bradley dan Dasha Logan, anak perempuan vokalis kumpulan Alleycats, mendiang Loganathan Arumugam. – Bernama

http://ift.tt/28VOw9L
http://ift.tt/28VOH4X