KOTA KINABALU 22 Jun – Tindakan sekumpulan remaja dan kanak-kanak menghidu gam di atas bumbung rumah kedai di Kampung Air, di sini menjadi viral di laman sosial Facebook sejak pagi ini.
Perbuatan tidak bermoral itu mengundang pelbagai reaksi pengguna Facebook yang prihatin dengan masa depan generasi muda.
Setakat pukul 4 petang, gambar-gambar tersebut dimuat naik seorang lelaki menggunakan nama Joel J. Johnny di akuan Facebook miliknya yang telah dikongsi lebih 2,064 pengguna laman sosial itu.
Menurut keterangan yang diberikan oleh Joel, gambar itu dirakam di kawasan Kampung Air pada 21 dan 22 Jun sekitar pukul 6.30 hingga 7.30 pagi.
Gambar yang dipaparkan oleh Joel itu ialah perbuatan dua remaja perempuan yang sedang duduk sambil menghidu sebungkus plastik dipercayai mengandungi gam.
Malah, turut kelihatan sekumpulan remaja perempuan dan kanak-kanak lelaki dengan salah seorang daripadanya sedang tidur.
Pendedahan gambar itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada pembaca yang rata-rata mahu tindakan segera diambil bagi membendung budaya menghidu gam dalam kalangan remaja.
“Sepatutnya DBKK (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) sentiasa pantau di kawasan bandar kegiatan tidak sihat ini. (Perbuatan itu) Bikin (buat) malu bandar Kota Kinabalu,” kata Justine Lidaun.
Seorang pembaca Mohd. Fauzy mahu tindakan diambil dengan menangkap semua remaja berkenaan dan dimasukkan ke pusat pemulihan.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad ketika diminta mengulas mengenai aktiviti itu melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan tindakan tersebut.
Menurut beliau, ibu bapa remaja terbabit perlu memantau anak masing-masing dan tidak membiarkan mereka hanyut hingga akhirnya boleh menjerumus kepada penyalahgunaan dadah.
“Saya meminta pegawai berkaitan termasuk daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), polis dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) untuk menyiasat perkara itu dan seterusnya mengambil tindakan,” katanya.
– See more at: http://ift.tt/28OSDq8
***
Remaja, budak hisap gam sudah ditahan
Seorang budak lelaki dan empat remaja termasuk dua perempuan berusia sembilan hingga 17 tahun yang menghidu gam di atas bumbung bangunan di Kampung Air, di sini, apabila mereka ditahan polis, 9.55 pagi tadi.
Tindakan pantas polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dibantu penguat kuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang mengesan semua suspek terbabit membawa kepada penahanan mereka.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, dua daripada mereka ditahan ketika sedang menuruni tangga bumbung bangunan berkenaan manakala tiga lagi ditahan di sekitar Kampung Air.
“Semua yang ditahan dibawa ke IPD Kota Kinabalu dan empat daripada suspek termasuk budak lelaki yang berusia sembilan tahun mengaku menghidu gam, manakala seorang lagi mendakwa hanya menemani mereka sahaja,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Menurutnya, tiga daripada mereka yang mempunyai dokumen akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk kaunseling dan tindakan lanjut manakala dua remaja yang tidak mempunyai dokumen ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.