Saturday, June 4, 2016

Warga emas perkosa anak jiran 3 kali

Tertuduh ketika dibawa ke mahkamah.

AYER KEROH – Seorang bekas pemandu teksi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan merogol remaja perempuan bawah umur di sebuah rumah, pada April dan Mei lalu.

Tertuduh Asari Kornain, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham tiga pertuduhan didakwa ke atasnya di hadapan Hakim Meor Aiman Ahad Tarmizi yang dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Asari didakwa merogol seorang perempuan berusia 15 tahun 11 bulan yang juga anak jirannya di sebuah rumah di Taman Tanjung Minyak pada jam 6.30 pagi dan 9.30 pagi pada 22 April lalu.

Mengikut pertuduhan ketiga, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa dan di rumah sama kira-kira jam 10 pagi pada Mei 2016.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin ketika pendakwaan meminta mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Namun, peguam Ishak Kari merayu supaya anak guamnya diberikan jaminan dengan alasan mempunyai tujuh anak termasuk tiga masih bersekolah dan seorang di institut pengajian tinggi.

Selepas mendengar rayuan itu, Meor Aiman kemudian membenarkan Asari diikat jamin RM25,000 selain turut menetapkan 30 Jun ini bagi sebutan semula kes.

http://ift.tt/1TOF9ZL