Peserta bertungkus lumus menggali lubang kubur sepantas mungkin dalam satu pertandingan di Debrecen, Hungary baru-baru ini. AGENSI
Pertandingan menggali kubur itu dianjurkan Persatuan Pemeliharaan Tanah Perkuburan Hungary bagi menarik minat golongan muda terhadap profesion tersebut. AP
DEBRECEN, Hungary 5 Jun – Sebanyak 18 pasukan menunjukkan bakat menggali kubur menerusi satu pertandingan peringkat daerah yang dianjurkan oleh Persatuan Pemeliharaan Tanah Perkuburan Hungary, kelmarin.
Peserta yang rata-ratanya merupakan penggali kubur sepenuh masa, bukan sahaja dinilai menerusi kepantasan menggali kubur malahan juga melalui kekemasan sesebuah lubang kubur yang telah siap.
Seorang peserta, Janos Jonas, 63, yang berpasangan dengan anaknya, Csaba, melihat pertandingan tersebut sebagai peluang baginya menonjolkan kebolehan buat kali terakhir sebelum bersara.
“Kami tidak perlu berlatih untuk menyertai pertandingan ini kerana menggali kubur adalah tugas harian kami setiap hari,” kata Jonas.
Penganjur pertandingan, Iren Kari berkata, pihaknya berharap pertandingan seumpama itu akan membuka mata masyarakat terhadap profesion penggali kubur serta menarik minat orang ramai untuk bekerja dalam bidang tersebut.
“Kami menghadapi kesukaran untuk mencari pengganti kepada penggali kubur yang telah bersara.
“Orang muda sekarang tidak suka melakukan kerja seperti ini,” kata Kari.
Penggali kubur tempatan, Laszlo Toth yang berpasangan dengan Janos Racz dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan itu dengan masa 34 minit dan bakal bersaing di Trencin, Slovakia pada bulan November ini. – AP
– See more at: http://ift.tt/1Pdgzjx