Joseph Fuller membawa pulang kanak-kanak lelaki (kanan) daripada sekolah setelah menyangka budak itu cucunya (kiri). Agensi
CAROLINA 5 Jun – Seorang warga emas yang menjemput pulang cucunya di sebuah sekolah di Orangeburg County, Columbia terpaksa memohon maaf kepada pihak sekolah setelah tersilap membawa pulang kanak-kanak yang disangka cucu lelakinya.
Polis berkata, ketika Joseph Fuller, 65, tiba di Sekolah Rendah Edisto, dia terlihat sekumpulan kanak-kanak di kawasan gimnasium dan menyangka seorang daripada budak itu adalah cucunya yang berusia enam tahun.
Dia kemudian keluar dari kereta dan memeluk kanak-kanak itu sambil memberitahu mahu menjemputnya lebih awal, malah ketika Fuller bertanya sama ada kanak-kanak itu sudah bersedia untuk pulang, kanak-kanak tersebut berkata ‘ya’.
Menurut laporan laman web Oddity Central, budak lelaki tersebut turut mengaku Fuller adalah datuknya ketika ditanya seorang guru.
Lebih memeranjatkan, isteri Fuller yang menunggunya di dalam kereta turut tidak menyedari bahawa kanak-kanak itu bukan cucunya lantas terus menyerahkan sekotak makanan segera.
Fuller hanya menyedari kanak-kanak itu bukan cucunya apabila sampai di rumah setelah mendapati kanak-kanak tersebut tidak mempunyai gigi hadapan.
“Saya tahu cucu lelaki saya mempunyai gigi hadapan dan saya terus membawanya kembali ke sekolah. Saya minta maaf,” katanya.
Menurut laporan polis, kedua-dua budak lelaki itu mempunyai gaya rambut dan penampilan yang sama, tetapi berlainan dari segi ketinggian serta berat badan.
Malah ibu kanak-kanak lelaki yang tersilap dibawa pulang itu mengaku, Fuller seiras bapanya dan tidak mustahil anak lelakinya menyangka warga emas itu adalah datuknya.
Bapa kanak-kanak berkenaan, Darrin Pressley melihat kejadian itu bukan perkara melucukan tetapi menyifatkannya sebagai kecuaian pihak sekolah.
Disebabkan kejadian itu, murid-murid di sekolah berkenaan terpaksa memaklumkan kepada guru siapakah yang akan menjemput mereka bagi mengelak perkara sama daripada berulang.
– See more at: http://ift.tt/1U7kFiJ