Tuesday, July 19, 2016

15,000 Guru & Kakitangan Pendidikan Sokong Rampasan Kuasa Di Turki Digantung Kerja

ISTANBUL – Turki meluaskan program ‘pembersihan’ kepada sektor pendidikan selepas cubaan rampasan kuasa digagalkan.

Sebelum ini pembersihan ditumpukan kepada pasukan tentera, polis, badan kehakiman dan kalangan yang disifatkan pengikut ulama yang hidup dalam buangan tetapi dituduh sebagai perancang rampasan kuasa.

Perdana Menteri Binali Yildirim, berkata Turki sudah menghantar dokumen ke Amerika Syarikat (AS) untuk menyokong tuntutannya supaya mengekstradisi ulama Fethullah Gulen, seteru Presiden Recep Tayyip Erdogan yang tinggal dalam buangan di Pennsylvania.

“Kami akan menarik mereka (penyokong Gulen) keluar dari akarnya seperti pisau cukur,” katanya.

Dalam tindakan terbaru oleh pihak berkuasa, kementerian pendidikan berkata, lebih 15,000 kakitangan pendidikan negeri digantung.

Sebelum itu, kira-kira 9,000 orang termasuk pegawai polis dan kakitangan kerajaan dipecat manakala 7,500 orang ditahan termasuk jeneral atasan tuduhan komplot rampasan kuasa.

Pada masa sama, Yildirim memberi amaran kepada rakyatnya supaya jangan membalas dendam ke atas penyokong cubaan penggulingan itu.

“Tiada siapa boleh mempunyai perasaan membalas dendam. Ini tidak boleh diterima dalam kerajaan diperintah menurut undang-undang,” kata Yildirim. – AFP